KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap prestasi Harimau Malaya akan terus meningkat dengan sentuhan Peter Cklamovski dari Australia yang dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya semalam.
Beliau percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi jawatankuasa pemilihan ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan telah meneliti profil Cklamovski, sekali gus memastikan bekas pengurus kelab Jepun FC Tokyo itu adalah individu yang benar-benar layak.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada jurulatih baharu. Jadi dengan adanya jurulatih baharu dan dana (RM15 juta) yang diumumkan, saya harap prestasi Harimau Malaya akan terus naik,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan projek naik taraf kemudahan sukan gelanggang bola keranjang Taman Jinjang Baru, Kepong, di sini hari ini.
Sesi penyerahan projek yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng itu melibatkan pembinaan bumbung, menaik taraf permukaan gelanggang serta papan jaring bola keranjang, yang siap sepenuhnya pada 20 Nov lepas.
Semalam FAM mengumumkan pelantikan Cklamovski sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak lelaki kebangsaan, dan beliau akan memulakan tugasan secara rasmi pada 1 Jan 2025.
Pengendali berusia 46 tahun itu pernah bekerja lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015, selain membawa Yokohama F. Marinos menjuarai Liga J1 (Liga Jepun) pada musim 2019.
Cklamovski akan menggantikan ketua jurulatih sementara Pau Marti Vicente dari Sepanyol yang ketika ini sedang membimbing pasukan negara pada kempen Piala ASEAN 2024.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM15 juta itu bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak negara.
Sementara itu Hannah meminta penganjur acara sukan permotoran mengutamakan keselamatan dan mengikut garis panduan ditetapkan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) bagi mengelakkan kemalangan jiwa seperti yang berlaku pada Pusingan Ketiga Sandakan Drag Battle 2024 tidak berulang lagi.
“Saya ucapkan salam takziah kepada keluarga pemandu. Walaupun garis panduan sudah dikeluarkan namun insiden tetap berlaku, saya percaya insiden ini sedang disiasat polis. Sekiranya masih ada penganjur yang tidak mahu ikut garis panduan, tindakan boleh diambil polis,” katanya.
Sabtu lepas, perlumbaan yang tidak mendapat kelulusan MAM itu menyaksikan kereta Honda dipandu anggota Team Prostreet KB dari Brunei Abang Adib Abang Ali, 36, hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri litar perlumbaan ketika melepasi garisan penamat.
Pemandu kereta itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent di Sandakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial