SUKAN > BERITA

FAM JAMIN TIADA PERTINDIHAN TUGAS CKLAMOVSKI, PAU MARTI

17/12/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan tugas antara ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya Peter Cklamovski dan jurulatih sementara Pau Marti Vicente ketika saingan Piala ASEAN 2024 masih berjalan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata kejohanan yang akan berakhir pada 5 Jan 2025 itu kekal menjadi tugasan terakhir Pau Marti sebelum diambil alih Cklamovski.

"Tugasan Pau Marti adalah membawa skuad negara ke Piala ASEAN. Jadi saya fikir kalau kita berjaya melangkah jauh, beliau akan teruskan tugas sampai habis kejohanan ini. Walaupun nanti ada jurulatih baharu, ia adalah persediaan yang baharu.

"Ada persefahaman mengenai struktur kejurulatihan baharu dengan Pau Marti, dan beliau sendiri pun faham, jadi tidak timbul isu. Bila kita lantik (ketua jurulatih) yang baharu bermakna beliau (Pau Marti) tiada lagi dalam struktur kejurulatihan selepas ini," katanya selepas majlis pengumuman kerjasama antara FAM dan syarikat multinasional hiburan dan permainan video Jepun Konami eFootball, di sini hari ini.

Semalam FAM mengumumkan Cklamovski dari Australia selaku ketua jurulatih baharu Harimau Malaya bagi memastikan skuad negara mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027, selain memperbaiki ranking dunia dalam kedudukan 100 terbaik.

Bekas pengurus Tokyo FC itu akan memulakan tugasnya pada 1 Jan ini.

Mohd Yusoff berkata seperti kelaziman buat ketua jurulatih baharu, Cklamovski juga terbuka memilih barisan kejurulatihan bagi membantunya selepas ini termasuk mempunyai penolong jurulatih dalam kalangan orang tempatan, dan badan induk sukan itu akan membuat penilaian.

Mohd Yusoff pada masa sama berharap Cklamovski diberikan masa secukupnya untuk membuktikan sesuatu dalam memacu kejayaan Harimau Malaya.

Terdahulu jalinan kerjasama terbaharu FAM dengan Konami eFootball itu sebagai usaha menghubungkan bola sepak tradisional dengan dunia digital, seterusnya membuka peluang baharu yang menarik kepada peminat Malaysia.

Jalinan kerjasama itu turut menyaksikan skuad Harimau Malaya secara rasmi dipaparkan dalam permainan eFootball, iaitu peminat kini boleh bermain sebagai pasukan kebangsaan mereka dengan pemain-pemain tempatan sekali gus memberikan peluang unik untuk mewakili negara mereka di padang maya global. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan