KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong akan menjalani lebih banyak sesi latihan di gelanggang bermula minggu depan sebagai persiapan kejohanan pertamanya April ini selepas pulih daripada kecederaan belakang yang dialami tahun lepas.
Jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata keputusan dibuat berikutan pemain berusia 25 tahun itu telah menunjukkan peningkatan dalam latihan dan akan meningkatkan intensiti latihannya secara beransur-ansur.
Jonassen berkata rejim latihan baharu itu akan memberikan pengalaman berbeza bagi Tze Yong dan beliau akan mengurus beban latihan pemain itu dengan teliti.
“Kami mengadakan pertemuan awal minggu ini dan bersetuju mengenai kemajuan Tze Yong dan saya kagum dengan perkembangan ditunjukkan beliau. Bermula minggu hadapan, beliau akan berlatih empat kali seminggu dengan intensiti 100 peratus.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu memaksa. Minggu depan kali pertama beliau akan berlatih dua hari berturut-turut, selepas itu rehat sehari dan kemudian latihan dua hari lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan badminton negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan Tze Yong kembali menjalani latihan mulai awal bulan ini, namun sesi latihan terpaksa dihadkan kepada lebih kurang sejam bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Ditanya mengenai kejohanan yang akan disertai pada April ini, Jonassen berkata Tze Yong mungkin akan bertanding dalam kejohanan bertaraf rendah untuk mendapatkan semula pengalaman beraksi secara kompetitif.
“Amat penting untuk kami membawa beliau kembali menyertai kejohanan bertaraf rendah. Kami harap ia membantu Tze Yong meningkatkan prestasi secara beransur-ansur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial