SUKAN > BERITA

Pang Ron-Su Yin Perlu Rebut Peluang Rangkul Gelaran Terbuka Jerman - Nova

25/02/2025 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pasangan beregu campuran meningkat naik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin perlu merebut peluang untuk merangkul kejuaraan Jelajah Dunia sulung mereka pada Terbuka Jerman 2025 yang bermula hari ini.

Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata anak buahnya yang merupakan pilihan kedua kejohanan memiliki peluang mengungguli saingan bertaraf Super 300 yang berlangsung di Mulheim, memandangkan tidak banyak gandingan utama dunia menyertainya.

“Ini masanya untuk Pang Ron-Su Yin bergelar juara. Pesan saya kepada mereka, yang penting teruskan melawan, nanti kejuaraan datang sendiri,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Pasangan ke-14 dunia itu dijadual membuka kempen Terbuka Jerman menentang Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri dari Algeria esok.

Pencapaian terbaik Pang Ron-Su Yin sejak digandingkan pada 2023 adalah muncul naib juara China Masters 2024 yang menyaksikan mereka tumpas kepada gandingan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 23-21, 23-25, 16-21.

Sementara itu, Widianto optimis keyakinan Pang Ron-Su Yin bakal melonjak sekiranya mereka berjaya mendakap gelaran pertama nanti.

Walau bagaimanapun, bekas pemain Indonesia itu berharap gandingan itu tidak berasa puas dengan hanya satu gelaran, sebaliknya perlu sentiasa dahagakan kejayaan untuk setiap kejohanan yang disertai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan