TINTA MINDA

SEMAI BUDAYA KERJA DAN SET MINDA GAYA MERDEKA

28/09/2022 09:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr.Noor Dzuhaidah Osman dan Dr.Syahirah Abdul Shukor

Saban tahun kita menyambut kemerdekaan, dan saban tahun juga kita meneruskan kehidupan bekerjaya seperti biasa.Yang berubah mungkin struktur organisasi, prestasi, gaji, siapa kawan dan lawan kita. Pencapaian tahunan, bidang kerja kita, semuanya ada turun naik. Merdeka membawa pengertian yang meluas iaitu bebas daripada segala bentuk penjajahan. Merdeka bukan juga bermaksud terlalu menekankan hak-hak kebebasan hingga lupa susur galur, adat resam sesuatu bangsa dan negara.

Merdeka secara amnya membawa maksud bebas daripada belenggu dan pengaruh individu yang menekan atau menindas. Dalam erti kata lain ialah bebas dalam membuat tindakan, keputusan, tidak terikut dan terikat dengan amalan adat resam sebelum ini. Bagaimanapun, masih dipandu undang-undang, peraturan dan polisi serta dasar yang sah, bukannya mengikut kemahuan sendiri atau semberono sahaja.

Pilihan tema tepat pada masa

Tema kemerdekaan tahun ini “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” adalah tepat pada masanya apatah lagi ia mempunyai kaitan dengan budaya kerja yang memupuk sikap kebersamaan.

Pelbagai kempen budaya kerja diuarkan-uarkan oleh pelbagai jabatan kerajaan dan swasta antaranya budaya kerja cemerlang, kelas pertama, profesional, dan Islamik. Namun, saban tahun selain penggunaan penunjuk aras pencapaian adakah budaya kerja rakyat sudah merdeka sejak Malaysia merdeka? Apalah gunanya saranan budaya kerja yang gah namun hanya cantik di mata, namun realitinya sekadar menghabiskan ribuan malah jutaan wang.

Dalam menyemai budaya kerja dan set minda gaya merdeka ada beberapa aspek penting menurut kaca mata akal (‘common sense’) yang tidak boleh dianggap enteng. Antaranya ialah ikhlas, konsisten dan tawadhu’. Al-Ghazzali menyatakan bahawa setiap kerja itu perlu memerhatikan tiga aspek, iaitu:

1. Apabila mengerjakan sesuatu ikhlaskan hati;

2. Semasa mengerjakan sesuatu khusyukkan hati;

3. Setelah mengerjakan sesuatu rendahkan (tawadhu’) hati.

Ikhlas, khusyuk dan tawadhu’

Keikhlasan dalam melakukan pekerjaan itu penting kerana asal sesuatu pekerjaan itu ialah niatnya dan hasil keikhlasan itulah yang membuahkan sesuatu yang bermakna untuk diri, rakan sekerja, organisasi dan masyarakat.

Keikhlasan itu dipancarkan melalui komitmen yang berterusan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kepentingan dan agenda organisasi hendaklah diletakkan keutamaan yang lebih tinggi daripada kepentingan dan agenda diri sendiri. Oleh itu setiap organisasi perlulah mempunyai dasar dan polisi yang jelas, agar agenda dan objektif organisasi tidak dikesampingkan. Dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab pentadbir perlu mengambil peduli atas saranan orang bawahan tetapi perlu tegas dengan prinsip agar tidak diambil kesempatan.

Khusyuk, tekun atau konsisten dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab adalah satu aspek yang perlu ada dalam membina peribadi dan jati diri selain meningkatkan prestasi.

Setiap pekerja perlu mempunyai motivasi secara kendiri atau berpasukan untuk memajukan diri, pasukan dan organisasi. Dalam menjayakan visi, misi dan objektif, matlamat dan haluan haruslah jelas dan seiring. Tekun juga bermaksud fokus dalam kerja. Majikan juga perlu bersikap prihatin dalam meningkatkan kemajuan anak buahnya dan tidak terlalu mementingkan kekananan.

Kadang-kadang kekananan tidak semestinya matang dan petanda kewibawaan. Ianya mungkin satu daripada petunjuk tetapi bukanlah penanda aras muktamad. Ada ketikanya yang lebih kiri itu lebih bernas ideanya dan perlu diketengahkan.

Manusia itu fitrahnya minta dihargai tidak kira usia, kanan atau kiri, seperti saranan pelbagai kempen kerajaan sebelum ini antaranya kepimpinan melalui teladan. Pemimpin itu imam maka rakyat itu makmumnya. Dalam mengejar penunjuk aras kemajuan maka tidak seharusnya kita menindas dan menggunakan tenaga orang lain demi mencapai sebuah impian. Ia sama seperti habis madu sepah dibuang, seolah-olah tiada penghargaan.

Nilai-nilai kemanusiaan dan setiakawan yang mulai hilang membuatkan kita terfikir bahawa sebenarnya setiap pekerjaan memerlukan penglibatan manusia lain. Melainkan manusia itu harus bekerja sendiri dan tidak memerlukan orang lain. Akhirnya manusia juga yang akan menilai manusia lain contohnya majikan dan orang bawahan juga rakan sejawat ada kalanya diminta memberi buah fikiran atas komitmen untuk rakan sejawat yang lain.

Rendah hati atau bersifat tawadhu’ juga penting dalam mengekalkan keharmonian organisasi, untuk mengikis sikap keakuan atau aku sahaja yang betul. Mengambil kira pandangan dan saranan juga perlu, tetapi harus diingat orang yang banyak bercakap dan memberikan pandangan tidak semestinya mencerminkan apa yang diucapkannya. Kadang-kadang ia sekadar cadangan atau cakap-cakap kosong sahaja.

Antara cara terbaik untuk memberi penilaian ialah menerusi komitmen, hasil kerja atau tindakan. Pandangan majoriti tidak semestinya mencerminkan pandangan yang betul dan boleh dipercayai. Kaedah yang selamat ialah semua memahami, menghayati serta menghormati nilai-nilai dan polisi organisasi.

Kesimpulannya, sikap negatif dalam membudayakan sesuatu kerja tidak seharusnya dibiarkan membarah. Kelak ia akan menjadi budaya yang parah dan sukar untuk disembuhkan serta menjadi ikutan atau normalisasi. Justeru itu, sikap positif perlu menjadi budaya kerja agar terbentuknya keharmonian diri. Merdeka bukan semata-mata mengikut tanpa membantah, jika mahu mencelah pula perlulah ada hujah dengan cara yang hikmah.

--BERNAMA

Dr. Noor Dzuhaidah Osman, dan Dr.Syahirah Abdul Shukor merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)