TINTA MINDA

KEPELBAGAIAN ISU KANAK-KANAK PERLUKAN PERLINDUNGAN TERANGKUM

14/12/2022 10:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Jarud Romadan Khalidi dan Puteri Marjan Megat Muzafar

Zaman kanak-kanak merupakan peringkat kehidupan yang rentan kerana mereka perlu bergantung kepada orang dewasa untuk memenuhi semua keperluan semasa membesar. Kanak-kanak lebih terdedah kepada kemiskinan. Pada 2019, sebanyak 405 ribu isi rumah dikenal pasti sebagai miskin dan majoriti (335 ribu) isi rumah tersebut didiami kanak-kanak. Kemiskinan dalam kalangan isi rumah yang mempunyai anak berada pada kadar 8.7 peratus berbanding isi rumah tanpa kanak-kanak (2.1 peratus).

Bantuan sosial di Malaysia yang menyasarkan kanak-kanak miskin adalah sesuatu yang wajar. Namun jumlah yang layak mendapat bantuan adalah kecil memandangkan had kelayakan yang ditetapkan berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) adalah sangat rendah. Isi rumah yang berpendapatan melebihi had tersebut tidak layak mendapat bantuan, walaupun perbezaannya sangat kecil.

Kiraan Institut Penyelidikan Khazanah mendapati jika PGK dinaikkan sekali ganda, kadar kemiskinan isi rumah dengan kanak-kanak naik mendadak 4.6 kali ganda, daripada 8.7 peratus ke 39.8 peratus. Ini bermaksud sejumlah besar isi rumah sangat mudah terjejas. Sedikit kejutan ekonomi sudah cukup untuk menjadikan ramai jatuh miskin.

Jurang pendidikan berterusan

Kemiskinan seterusnya boleh melebarkan jurang dari segi kadar penyertaan dan pencapaian dalam pendidikan. Walaupun pencapaian gred purata nasional (GPN) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah bertambah baik sejak 2015, GPN murid bandar lebih cemerlang berbanding luar bandar. Perbezaan ini banyak berkait rapat dengan kekurangan infrastruktur dan sumber pengajaran di luar bandar.

Akibat pandemik, isu kanak-kanak tercicir dalam pelajaran adalah membimbangkan. Bank Dunia menganggarkan murid di Malaysia kehilangan 1.3 tahun pembelajaran akibat penutupan sekolah selama 42 minggu pada 2020 hingga 2021. Yang paling terkesan adalah kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah terutamanya di kawasan terpencil yang tiada kemampuan dan kemudahan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Masalah malnutrisi yang meruncing

Pemakanan yang baik adalah asas penting untuk kesihatan sepanjang hayat, terutamanya semasa tumbesaran. Kesihatan yang baik pula menjadi faktor penting penentu kejayaan dalam pelajaran dan pekerjaan apabila dewasa. Namun, kanak-kanak Malaysia menghadapi tiga cabaran malnutrisi iaitu kekurangan zat makanan, kekurangan vitamin serta mineral penting, dan berat badan berlebihan atau obesiti.

Menurut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi, pada 2019 pertumbuhan bagi 22 peratus kanak-kanak berumur bawah lima tahun terbantut akibat nutrisi tidak seimbang. Manakala 14.8 peratus, kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun mengalami obesiti. Di sebalik kemakmuran yang dinikmati, Malaysia berada dikedudukan kedua tertinggi bagi kadar obesiti kanak-kanak di Asia Tenggara, di belakang Brunei.

Malnutrisi kanak-kanak bukan terhad kepada golongan miskin tetapi merentasi kelas pendapatan. Kira-kira 22 peratus dan 17 peratus kanak-kanak dalam isi rumah B40 dan T20 adalah terbantut. Manakala 16 peratus dan 18 peratus kanak-kanak dalam isi rumah B40 dan T20 adalah obes. Ini bermakna kekurangan zat bukanlah masalah golongan miskin sahaja.

Penderaan dan eksploitasi kanak-kanak

Sementara itu, kes-kes yang mengancam keselamatan kanak-kanak masih berlaku dan belum ditangani sepenuhnya. Antara 2010 hingga 2020, Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan peningkatan kes kanak-kanak memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada penderaan dan pengabaian, daripada 3,257 kepada hampir 5,900.

Kemelut ekonomi sering mendorong keluarga untuk melibatkan kanak-kanak dalam situasi yang tidak wajar termasuk buruh kanak-kanak dan perkahwinan bawah umur. Menurut UNICEF, antara 2007 dan 2017, kira-kira 15,000 perkahwinan bawah umur dilaporkan di Malaysia. Laporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendakwa adanya pengambilan buruh kanak-kanak di Malaysia. Malangnya, sejauh mana seriusnya masalah ini tidak jelas kerana tiada data rasmi.

Tangani isu kanak-kanak sekarang sebelum situasi bertambah buruk

Unjuran penduduk oleh Jabatan Perangkaan menjangkakan warga dalam umur bekerja akan berkurang menandakan beban untuk menjaga warga emas dan kanak-kanak akan bertambah. Pada 2020, bagi setiap 100 orang umur bekerja, terdapat 44 kanak-kanak dan orang tua untuk dijaga. Angka ini dijangka meningkat kepada 51 pada 2050.

Bagi mewujudkan tenaga kerja yang sihat dan produktif, isu yang dihadapi oleh kanak-kanak terutamanya berkaitan kemiskinan, pendidikan dan kesihatan perlu ditangani secara proaktif. Kekurangan sokongan dari segi pemakanan, pembelajaran serta penderaan fizikal, emosi dan seksual akan merencatkan pertumbuhan kanak-kanak, lantas menjejaskan potensi mereka apabila dewasa terutamanya dari segi kerjaya dan pendapatan. Ini akan mewujudkan suatu kitaran kemiskinan, mengehadkan mobiliti sosial dan melebarkan jurang ketidaksamaan.

Semua kanak-kanak terdedah kepada kemiskinan dan isu kanak-kanak merentas kelas pendapatan. Namun, dari segi perlindungan sosial Malaysia masih belum mempunyai skim khusus untuk kanak-kanak yang didasari undang-undang. Kesannya, sistem bantuan bersasar yang ada sekarang hanya mampu mencapai liputan yang sangat terhad serta tidak menentu, sementara masih ramai terbiar tanpa bantuan sewajarnya.

Kanak-kanak tiada akses serta-merta kepada bantuan apabila ibu bapa mereka mengalami kejutan ekonomi seperti hilang pekerjaan ataupun jatuh sakit, melainkan penjaga ini mempunyai simpanan luar jangka atau ada mencarum ke dalam skim insurans sosial.

Oleh itu, adalah penting untuk menetapkan suatu lantai perlindungan sosial yang merangkumi semua kanak-kanak sebagai benteng yang memastikan tidak seorang pun ketinggalan dan semuanya dapat membesar dengan taraf hidup yang lebih setara. Lantai ini harus menyediakan manfaat kanak-kanak sejagat, serta akses sejagat kepada pendidikan dan kesihatan. Sesuai dengan tema Hari Kanak-Kanak tahun ini, perlindungan sosial negara harus ditransformasi untuk mencapai “Keterangkuman Dan Kepelbagaian Untuk Setiap Kanak-Kanak”.

--BERNAMA

Jarud Romadan Khalidi dan Puteri Marjan Megat Muzafar adalah penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute, KRI). Pandangan adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan kedudukan rasmi KRI.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)