Oleh: Datuk Haji Mohd Ajib Ismail
“Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa, itulah kasih mesra sejati dan mulia.” Begitulah sebahagian daripada lirik lagu dendangan Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam sebuah filem Melayu Klasik berjudul “Hang Tuah” yang ditayangkan sekitar tahun 1950-an. Liriknya menjelaskan tentang tekad seseorang yang sanggup berkorban demi orang tersayang. Individu itu juga bersedia membelakangkan keinginannya untuk mengecapi kebahagian bersama. Kadangkala pengorbanan bukan sahaja melibatkan perkara yang besar, tetapi juga boleh dimulakan dengan pengorbanan yang kecil.
Asas pengorbanan
Pengorbanan paling asas dimulakan daripada sebuah keluarga. Sama ada pengorbanan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mahupun pengorbanan anak-anak untuk memelihara kebajikan kedua-dua orang tua sehingga akhir hayat. Allah SWT menggambarkan tentang pengorbanan seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan anak sebagaimana firmanNya dalam al-Quran surah Luqman ayat 14 yang bermaksud “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” Para ulama’ tafsir seperti al-Qurtubi, Ibnu Kathir dan lain-lain ketika mentafsirkan ayat berkenaan menjelaskan tentang kesakitan yang ditanggung oleh seorang ibu secara fizikal dan emosi serta susah payah perjuangan golongan wanita dalam mendewasakan anak-anak.
Begitu juga pengorbanan seorang suami dan bapa dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan ahli keluarga digambarkan melalui pengiktirafan yang diberikan oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud "Sesungguhnya tidaklah kamu memberikan suatu nafkah dengan mengharapkan keredaan Allah kecuali kamu akan diberi pahala termasuk sesuatu yang kamu suapkan ke mulut isterimu." (Riwayat al-Bukhari).
Selain itu, dalam sebuah hadis yang lain dinyatakan tentang kepentingan anak-anak memelihara kebajikan ibu bapa yang sudah tua dan lanjut usia sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Riwayat Muslim).
Pengorbanan juga perlu dilakukan demi mempertahankan kedaulatan negara. Justeru petugas keselamatan dan perajurit yang menjaga keamanan negara menjadi golongan yang ditinggikan darjatnya kerana pengorbanan harta dan jiwa yang dicurahkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 95 bermaksud “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) daripada kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat.
Dan setiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.” Selain pasukan keselamatan dan perajurit, setiap warga negara juga mesti berkorban untuk memastikan keamanan dan kestabilan dengan mengetepikan perbalahan yang mencetuskan persengketaan dan pergaduhan sebaliknya bersama-sama menyumbang idea bagi membangunkan negara.
Dalam konteks sebuah organisasi, pengorbanan perlu dilakukan oleh ahli pasukan dengan menggembleng usaha dan pemikiran untuk membina kekuatan dan mencipta lebih banyak kejayaan. Pengorbanan boleh dibuktikan melalui perasaan kecintaan dan kesetiaan kepada institusi dan organisasi tempat seseorang bekerja. Warga kerja yang setia akan melaksanakan setiap tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh serta memberikan sepenuh sokongan kepada usaha membangunkan organisasi. Erti pengorbanan yang berjaya dihayati oleh setiap warga akhirnya akan memacu organisasi ke arah mencapai segala misi dan visi yang ditetapkan.
Peristiwa korban
Dalam usaha dakwah Islam, sejarah perjuangan para nabi merakamkan pelbagai peristiwa pengorbanan yang dihadapi demi memastikan risalah Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat terpaksa berhijrah meninggalkan kampung halaman untuk mengelakkan diri daripada pelbagai bentuk penindasan dan kekejaman oleh kaum musyrikin di Mekah sekali gus memastikan pengembangan ajaran Islam di Madinah.
Situasi itu dinyatakan dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Ibnu 'Abbas RA, ketika Nabi Muhammad SAW akan meninggalkan Mekah, sebelum hijrah ke Madinah, baginda menoleh ke belakang melihat negeri Mekah. Rasulullah SAW berkata, “Engkau (Mekah) adalah negeri Allah yang paling aku cintai, dan kalau penduduknya tidak mengusirku, tentu aku tidak akan meninggalkan engkau.”
Nabi Yusuf AS pula dibuang oleh saudaranya sendiri dan terpaksa berpisah dengan bapa tercinta iaitu Nabi Yaakub AS. Baginda pernah dipenjarakan akibat perbuatan fitnah seorang wanita bernama Zulaikha. Namun akhirnya ketokohan baginda menyerlah sebagai seorang pemimpin yang bijaksana membawa negara Mesir pada ketika itu keluar daripada kemelut bencana.
Bagi seorang muslim, pengorbanan paling utama yang dilakukan adalah untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT dan meninggalkan kemaksiatan. Perkara tersebut dilaksanakan dengan bermujahadah meninggalkan keinginan syahwat dan hawa nafsu yang sering terpesona dengan keindahan dunia dan gaya hidup yang melalaikan sebaliknya berusaha mematuhi ketetapan syariat. Berapa ramai dalam kalangan kita misalnya terpaksa meninggalkan kesenangan, kekayaan bahkan orang tersayang semata-mata untuk kembali mendakap keredaan Allah SWT dalam kehidupan.
Perkara tersebut dilakukan kerana meyakini janji Allah yang menetapkan balasan nikmat berpanjangan kepada orang yang beriman dan berjaya mematuhi perintahNya. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
Pensyariatan ibadah korban mengandungi ibrah penting yang mesti dihayati pada setiap masa. Keikhlasan dan kesungguhan melakukan pengorbanan dalam segenap aspek kehidupan selaras dengan perintah Allah atau disebut sebagai golongan mukhlisin dalam lafaz takbir hari raya, pasti mendapat ganjaran besar yang dijanjikan kerana Allah SWT tidak sesekali memungkiri janji.
--BERNAMA
Datuk Haji Mohd Ajib Ismail ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)