WILAYAH - UTARA > BERITA

RASUAH: REMAN TERHADAP PENDAFTAR PERKAHWINAN DISAMBUNG TIGA HARI

09/06/2024 08:54 PM

KANGAR, 9 Jun (Bernama) -- Tempoh reman terhadap tiga lelaki termasuk pendaftar perkahwinan di sebuah jabatan di Perlis yang berakhir hari ini, disambung tiga hari lagi untuk melengkapkan siasatan kes rasuah RM1.18 juta melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan pasangan bernikah di Thailand.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata sambungan reman sehingga 12 Jun terhadap pegawai jabatan kerajaan itu dan seorang pemilik syarikat bersama bapanya, masing-masing berusia lingkungan 40-an, 20-an dan 50-an dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Ahmad Hamdi Mustafar.

Rabu lepas, Bernama melaporkan ketiga-tiga suspek itu direman lima hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Laporan itu menyebut suspek pertama yang merupakan pendaftar perkahwinan dipercayai menerima wang rasuah RM1.18 juta daripada pemilik syarikat tersebut untuk membolehkan pasangan yang bernikah di Thailand mendaftar perkahwinan di jabatan agama di Perlis tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Suspek pertama itu dipercayai berurusan dengan pemilik syarikat itu menerusi bapanya yang bertindak sebagai orang tengah dan dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2022 hingga 2023.

Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan