WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KONTRAK SOSIAL DUNIA HANYA UNTUNGKAN NEGARA KUASA BESAR - STEVEN SIM

15/06/2024 12:25 AM

KUALA LUMPUR, June 14 (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong telah menyinggung kontrak sosial dunia sekarang yang hanya menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan merugikan negara-negara kecil yang lain.

Menulis dalam akaun X miliknya (dahulu dikenali Twitter), beliau berkata isu mengenai kontrak sosial dunia yang hanya menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia itu telah disentuh dalam ucapannya pada sesi plenari Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 yang berlangsung di Geneva, Switzerland pada Rabu.

“Saya juga telah mempromosikan konsep Malaysia MADANI yang mengambil ibrah daripada pembentukan negara Madinah yang mengutamakan keadilan, kemakmuran bersama serta perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Sim ketika berucap turut menyentuh mengenai model pertumbuhan semasa yang menasionalisasikan keuntungan di tangan beberapa kuasa besar, sambil mengenakan beban peraturan, tanggungjawab, kos, malah masalah moral terhadap seluruh dunia.

Dalam konteks Malaysia, Sim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan kerangka Ekonomi MADANI setahun lepas dan negara sedang mengejar bidang pertumbuhan baharu dalam sektor teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan ekonomi hijau.

Tahun lepas, Malaysia menurut beliau, mencatatkan nilai pelaburan baharu ke dalam negara pada paras tertinggi dalam sejarah.

"MADANI bermaksud hasil kemakmuran ekonomi termasuk menegakkan maruah manusia. Itulah sebabnya, pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 ini, saya berbesar hati mewakili Malaysia untuk meratifikasikan Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, C155.

"Hal ini bertepatan dengan penguatkuasaan baru-baru ini terhadap perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang dipinda di Malaysia antara lain, meluaskan liputan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan daripada 10 sektor sebelum ini kepada semua sektor ekonomi di negara pada masa ini.

"Aspirasi kami ialah setiap pekerja selepas waktu bekerja, akan dapat pulang ke rumah dengan selamat kepada keluarga dan insan tersayang," katanya.

Sim juga menegaskan bahawa latihan kemahiran yang boleh diakses sepanjang hayat perlu diiktiraf sebagai hak asasi.

Beliau berkata dengan landskap pekerjaan yang sentiasa berubah pada abad ke-21, latihan berkenaan adalah penting untuk kemajuan dan peralihan kerjaya.

"Dalam tempoh kurang dua minggu, Malaysia akan menganjurkan Minggu Latihan Kebangsaan yang menawarkan lebih 25,000 kursus kemahiran percuma kepada lebih 200,000 orang.

"Kami berharap ILO akan terus memberi keutamaan kepada pembelajaran sepanjang hayat dan latihan kemahiran untuk meningkatkan kehidupan pekerja di seluruh dunia," kata Sim.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan