WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SERTAI BRICS BOLEHKAN SUARA MALAYSIA LEBIH DIDENGARI DI PENTAS ANTARABANGSA - MOHAMAD

18/06/2024 03:41 PM

SEREMBAN, 18 Jun (Bernama) -- Penyertaan dalam blok ekonomi organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) akan membolehkan 'suara' Malaysia lebih didengari di pentas antarabangsa. 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dengan menyertai BRICS, pandangan Malaysia dalam pelbagai isu akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan berbanding apabila bergerak secara bersendirian.

“Memang kita sedang membuat analisis, memantau dan melihat kesediaan menjadi anggota BRICS, kita menyertai blok ini mesti ada faedah kepada negara, bukan untuk kita bermegah-megah..jadi kita akan meninjau dan menganalisis apa kepentingannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban 1445H/2024 Kementerian Luar Negeri di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong, Rantau, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilapor mengesahkan telah menyatakan hasrat untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010, diikuti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Januari tahun ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia bertujuan memperkasa dan mempertingkatkan hubungan dua hala demi kepentingan kedua-dua negara terutama aspek dagangan.

“Ini kerana China sebuah ekonomi kedua terbesar dan dekat dengan rantau kita selain negara dagangan kita yang terbesar, jadi banyak perkara yang boleh kita runding dan pertingkatkan lagi demi kebaikan kedua-dua negara.

"Hubungan rapat Malaysia dan China perlu dipertingkatkan, pada masa yang sama ada perkara yang perlu diselesai, dirunding bersama seperti masalah di Laut China Selatan dan sebagainya, hubungan baik ini memungkinkan kita menguruskan apa juga masalah dengan baik," katanya.

Wisma Putra hari ini memaklumkan Li akan mengadakan lawatan tiga hari ke negara ini bermula hari ini untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan