WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SKUAD BOLING REMAJA TUAI DUA GANGSA PADA HARI PERTAMA KEJOHANAN ASIA

18/06/2024 08:23 PM

PETALING JAYA, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia memulakan kempen Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dengan langkah positif selepas menuai dua pingat gangsa pada hari pertama saingan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini hari ini.

Kilauan gangsa itu disumbangkan masing-masing dua atlet yang membuat debut iaitu Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi bagi kategori individu wanita.

Ethan hampir mencipta kejutan apabila menampilkan aksi konsisten dengan melakar 224, 225, 202, 226 dan 245 mata untuk merampas kedudukan pendahulu selepas lima permainan.

Bagaimanapun, atlet berusia 14 tahun itu gagal meneruskan rentak pada permainan terakhir apabila sekadar meraih 186 mata sekali gus terpaksa akur mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan keseluruhan 1,308 jatuhan pin.

Emas dimenangi Mark Leong dari Singapura B yang mengumpul keseluruhan 1,321 jatuhan pin sementara wakil Macau, Chan Chun Lok membawa pulang perak selepas meraih 1,311.

“Saya sangat gembira dan juga teruja, terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu saya… saya memang berasa sedih sedikit (hilang kedudukan pertama) tetapi tak mengapa dapat tempat ketiga, sekurang-kurangnya tiga terbaik,” katanya yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Pada masa sama, Ethan yang akan beraksi dalam acara beregu esok dan berpasukan pada Khamis mengakui saingan dihadapinya sangat sengit dan perlu lebih bijak dalam membuat keputusan pertukaran bola dalam baki saingan selepas ini.

Dalam pada itu, wakil Singapura A Nura Salsabila Zulkifli mendominasi saingan wanita apabila menggondol pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 1,395 jatuhan pin.

Tempat kedua menjadi milik atlet Singapura B Ella Tan (1,322) dan ketiga Qurratu’ain Izdihar (1,274) yang mewakili Malaysia B.

“Pada mulanya saya tidak sangka mampu menang sebab saya berusaha keras pada tiga perlawanan pertama dan selepas perlawanan ketiga saya membuat keputusan untuk tukar bola dan ia beri saya impak yang baik seterusnya mengekalkan guna bola yang sama,” kata Qurratu’ain Izdihar yang berusia 16 tahun dan turut akan beraksi dalam acara beregu dan berpasukan.

Sementara itu jurulatih kebangsaan Azidi Ameran berkata: “Sebenarnya kita sasar emas tapi dalam boling susah nak dapatkan jaminan tetapi sekurang-kurangnya kami balik dengan dua gangsa dan pada saya itu pencapaian yang baik, lagi-lagi dua pemain itu adalah pemain baharu dan jarang dikeluarkan untuk bersaing, jadi saya sangat berbangga dengan mereka.”

Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dari 16 hingga 23 Jun ini disertai 14 pasukan antaranya Malaysia, Australia, Singapura, China, Indonesia, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Macau dan Pakistan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan