WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKM TELITI KESEDIAAN 95 HOSPITAL SWASTA BEKERJASAMA PERKASA AKSES KESIHATAN

15/06/2024 05:54 PM

KUALA SELANGOR, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan sedang menyenarai pendek hospital yang bakal terlibat dalam kerjasama awam-swasta bagi memperkasakan sektor penjagaan kesihatan dalam negara. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata setakat ini, pihaknya meneliti 95 hospital yang telah menyatakan kesediaan untuk menerima pesakit dari hospital awam khususnya bagi menampung keperluan perkhidmatan nefrologi, kardiologi, pembedahan kardiotorasik dan pengimejan radiologi. 

"Kita telah diperuntuk RM144 juta bagi melaksanakan penyumberluaran dan kita memberikan peluang kepada hospital swasta untuk memberikan Permintaan untuk Cadangan.

"… kita masih lagi mempertimbang dan menyenarai pendek siapa yang kita akan izinkan untuk terlibat dalam penyumberluaran ini terutama dalam empat disiplin tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pek Kasih Mama di sini hari ini. 

Beliau berkata inisiatif itu, yang juga dapat membantu menangani masalah masa menunggu di hospital awam, akan dimuktamad dalam masa terdekat. 

Mengulas program kardiotorasik yang disediakan oleh Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh, Dzulkefly berkata perkara itu tidak menjadi isu dan mana-mana pihak yang mempunyai kemusykilan boleh merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ailsa Terry. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan