WILAYAH - UTARA > BERITA

LELAKI DITAHAN BERSAMA 100KG GANJA BERNILAI RM309,000

18/06/2024 03:19 PM

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Polis membongkar taktik seorang penganggur yang menjadikan keretanya sebagai stor menyimpan hampir 100 kilogram (kg) ganja bernilai RM309,000 dalam serbuan di kawasan parkir sebuah apartment di Gat Lebuh Maccalum, di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata sepasukan polis Bahagian  Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut melancarkan Operasi Tapis di kawasan itu sebelum menahan lelaki berusia 46 tahun itu pada 1 tengah hari.

"Lelaki itu ditahan di kawasan parkir motosikal dan pemeriksaan awal menemukan dua ketulan mampat ganja seberat hampir  dua kg bernilai RM6,000. Suspek dipercayai mahu menghantar dadah berkenaan kepada pelanggan.

"Hasil soal siasat, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda CRV yang terletak 500 meter dari lokasi suspek ditahan dan menemukan empat kotak plastik di tempat duduk penumpang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas empat kotak itu polis menjumpai 98 ketulan mampat ganja seberat 98 kg bernilai RM303,000 dan siasatan awal mendapati lelaki terbabit menjadikan kereta itu sebagai stor menyimpan dadah.

Hamzah berkata hasil risikan mendapati suspek yang juga penganggur itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal bulan dan dipercayai bergerak sendirian sehingga mampu mengaut keuntungan puluhan ribu setiap bulan.

Lelaki itu mendapatkan bekalan ganja daripada rangkaian sindiket dadah sebelum menyimpannya dalam kereta Honda CRV yang diletakkan di kawasan parkir di apartment berkenaan.

"Kereta itu tidak bergerak dan dibiarkan di kawasan parkir, dia akan membawa pelanggan ke kenderaan berkenaan dan jika (pelanggan) setuju untuk membeli suspek akan menjualnya di situ," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan lelaki itu memasarkan bekalan ganja di sekitar negeri ini terutama di daerah Timur Laut dan semua dadah yang dirampas boleh digunakan 200,000 penagih.

Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, kini direman tujuh hari hingga 21 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan