WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HANYA HUKUMAN DIKURANGKAN, SABITAN DIKEKALKAN - MAHKAMAH

27/06/2024 01:15 AM

 

PUTRAJAYA,  26 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pengerusi kumpulan agama di Kota Bahru, Kelantan yang sebelum ini dipenjara lapan tahun dan empat sebatan atas kesalahan menyara hidupnya menggunakan wang hasil persundalan dua tahun lalu dikurangkan kepada penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, dalam rayuan itu, Chan Boon Lee, 40, gagal mengetepikan sabitan bersalah atas pertuduhan menyara hidupnya menggunakan wang hasil empat pelacur Thailand pada Januari 2021.

Panel tiga hakim diketuai  Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Azhahari Kamal Ramli turut mengurangkan hukuman sebat daripada empat kepada dua sebatan.

Panel itu menolak rayuan Chan terhadap sabitan kesalahannya tetapi membenarkan rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara dan sebat.

Dalam menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Ruzima berkata keterangan yang diberikan oleh salah seorang wanita Thailand itu sudah memadai untuk membuktikan bahawa Chan menyara hidupnya hasil pendapatan pelacur berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Chan adalah keterlaluan.

 Chan pada mulanya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 2022 selepas didapati bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah unit pangsapuri di tingkat 22 Apartment D' Perdana Sri Cemerlang, Jalan Sri Cemerlang di Kota Bahru, pada jam 11.30 malam,15 Jan 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi tahun lepas.

Menurut kes pendakwaan, sepasukan polis yang menyerbu apartmen itu menemui Chan dan seorang wanita Thailand di duduk di meja ruang tamu dan selepas pemeriksaan menemukan 12 kondom dan wang tunai RM1,350.

Turut berada dalam apartmen itu itu ialah tiga lagi wanita Thailand dan lapan lelaki Bangladesh.

Empat wanita itu menyediakan perkhidmatan seksual kepada lelaki Bangladesh itu dengan bayaran RM150 bagi setiap langganan dengan RM50 diberikan kepada Chan daripada setiap transaksi.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya,Eyu Ghim Siang manakala Chan diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan