WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WAN AZIZAH MINTA PELAJAR HARGAI PENGORBANAN GURU, IBU BAPA

18/06/2024 06:42 PM

NIBONG TEBAL, 18 Jun (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta pelajar menghargai pengorbanan guru dan ibu bapa yang telah bertungkus-lumus memastikan mereka mendapat peluang pendidikan terbaik.

Beliau berkata kejayaan anak-anak juga adalah hasil usaha guru dan ibu bapa yang tidak jemu membimbing mereka.

"Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh guru dan ibu bapa, jadi ingatlah (jasa mereka) dan sentiasa berpegang dengan budaya timur kita yang penuh dengan nilai sopan santun," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM Sungai Bakap 2023 di sini hari ini.

Majlis itu diadakan bagi menghargai pencapaian cemerlang 155 pelajar lima sekolah di Sungai Bakap yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dan Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain.

Wan Azizah juga berharap pelajar akan menyumbang kepada pembangunan negara suatu hari nanti.

Beliau menyifatkan pendidikan sebagai sangat berharga dan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup menolak kerja bergaji tinggi di Amerika Syarikat semata-mata ingin menubuhkan sekolah untuk pelajar yang tercicir dalam pelajaran.

"Pada masa itu, beliau merupakan graduan dari Universiti Malaya dan ditawarkan kerja di New York dengan gaji US$3,000 namun beliau tolak untuk menubuhkan sekolah untuk pelajar tercicir. 

"Sekolah tersebut ditubuhkan untuk beri mereka peluang kedua dalam pembelajaran. Itu menunjukkan betapa pentingnya pendidikan untuk PMX (Perdana Menteri ke-10)," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan