WILAYAH - UTARA > BERITA

KPDN SERBU PREMIS JUAL LPG TANPA LESEN, LEBIH HARGA PASARAN

20/06/2024 05:44 PM

ALOR SETAR, 20 Jun (Bernama) -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah premis disyaki menjual secara runcit gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen sah dan melebihi harga pasaran di Kepala Batas, Jitra, semalam.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dilakukan pada 4.45 petang selepas bertindak hasil aduan orang awam dan penyamaran.

"Pasukan serbuan melakukan uji beli terhadap LPG yang dijual di premis itu bagi mengenal pasti harga jualan sebenar. Hasilnya mendapati LPG berkapasiti 12 kilogram (kg) itu dijual pada harga RM25 setong berbanding harga kawalan yang ditetapkan iaitu RM22.80.

"Pemeriksaan turut mendapati lesen bagi menjual LPG secara runcit telah tamat tempoh pada Mei lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan serbuan turut menyita empat tong LPG dengan rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM400 manakala kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Dalam kes lain, Muhammad Nizam berkata pihaknya menyerbu sebuah rumah kedai di Pokok Sena pada 11 pagi semalam selepas disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan produk makanan tambahan kecantikan.

Beliau berkata hasil serbuan, sepasukan anggota KPDN Alor Setar bersama pegawai Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah mendapati premis itu bukan pemegang sijil halal yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Majlis Agama Islam Negeri.

“Pemeriksaan mendapati mereka menggunakan logo halal pada setiap label bungkusan produk keluaran.

“Rampasan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dan kes disiasat di bawah Perenggan (4)(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan