WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA INDIVIDU JADI USAHAWAN BERJAYA DI SG BAKAP DENGAN BANTUAN TEKUN

27/06/2024 03:43 PM

Oleh R. Ratcharathan

NIBONG TEBAL, 27 Jun (Bernama) -- Berniaga di kawasan luar bandar dan terpencil bukan perkara mudah bagi golongan usahawan, lagi-lagi apabila negara berdepan fasa pemulihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19 sejak 2020 hingga 2022. 

Namun, pinjaman yang disalurkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional ketika itu ibarat ‘talian hayat’ kepada dua usahawan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang kini berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik, sekali gus menjanjikan pendapatan lumayan.

Bagi pemilik restoran Garuda Bistro, Azie Azeana Muhammad Naim, 37, bantuan pinjaman Skim Pinjaman Kecil dan Sederhana menerusi TEKUN membolehkan beliau dan suaminya Mohd Hilmi Idris Razak, 37, mencantikkan restoran menjual makanan ala Indonesia itu bagi menarik lebih ramai pelanggan berbilang kaum.

“Apabila kita baru lagi dan perlukan pemasaran untuk bagi orang ramai kenal produk kita, itu memerlukan wang yang banyak, jadi apabila ada pinjaman TEKUN kita boleh jimat duit simpanan kita untuk kecemasan dan menggunakan wang pinjaman untuk kembangkan perniagaan.

“Perkembangan perniagaan saya sangat hebat selepas bantuan TEKUN kerana kita mempunyai wang untuk membuat pemasaran, menambah barangan dapur dan perhiasan yang lebih bagus serta menjaga staf dengan berikan apron yang cantik. Ia sebenarnya dana yang memupuk pemasaran perniagaan kita,” katanya ketika ditemui Bernama semalam.

Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin meluangkan masa melawat usahawan itu di restorannya di Simpang Ampat, di sini bersama Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Azie Azena yang juga jurutera berkata beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah dengan menghantar makanan apabila menerima tempahan, sebelum membuka restoran sendiri yang berkonsep moden dengan kekuatan tujuh pekerja dalam masa dua tahun.

Beliau yang menerima pinjaman TEKUN sebanyak RM30,000 bagi memulakan perniagaan pada 2022 dan RM60,000 tahun ini, turut bercita-cita untuk melebarkan sayapnya di negeri lain seperti Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur pada masa akan datang dengan bantuan TEKUN.

Sementara itu, usahawan M. Mogan Raj, 31, yang mengusahakan bengkel membaiki kereta mewah berkata beliau memperoleh pinjaman TEKUN sebanyak RM40,000 bagi mengembangkan perniagaannya di Simpang Ampat, di sini.

Pemilik Pusat Membaiki Kereta Dr Bavarian itu memberitahu wang yang diluluskan TEKUN menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dimanfaatkan untuk membeli aksesori kereta dan peralatan membaiki kereta, membina rak untuk menyusun peralatan serta menggaji dua orang pekerja.

“Saya mula buka bengkel ini pada 2020 dengan menggunakan semua wang simpanan saya sebagai modal. Jadi, saya perlukan wang tambahan untuk kembangkan perniagaan saya dan memohon TEKUN. Selepas itu, saya dapat menjalankan perniagaan dengan lebih baik dan sambutan pun bagus,” katanya yang mempunyai pengalaman membaiki kereta selama 10 tahun.

Katanya ansuran bulanan juga dilunaskan mengikut jadual yang ditetapkan kerana kaedah pembayaran pinjaman tersebut sangat mudah dengan tempoh pembiayaan daripada enam bulan ke maksimum 10 tahun, sehingga beliau memohon untuk membuat pinjaman buat kali kedua sekarang.

Sehubungan itu, Azie Azeana dan Mogan menasihati semua usahawan yang baharu mahupun dalam perancangan untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang masing-masing, agar memohon kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan menerusi TEKUN.

TEKUN Nasional menyasarkan untuk menyalurkan bantuan kepada kira-kira 33,300 usahawan informal dan mikro di seluruh negara pada tahun ini dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM330 juta kepada TEKUN Nasional bagi membantu usahawan informal dan mikro dalam perniagaan masing-masing sementara 29,136 usahawan telah menerima pembiayaan di bawah SPUMI bernilai RM458 juta setakat 31 Mei lepas.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan