WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIGA SYARIKAT PENERBANGAN BAKAL BEROPERASI DI KLIA AKHIR TAHUN INI - MAHB

25/06/2024 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam usahanya mengembangkan rangkaian kesalinghubungan negara, menyasarkan kehadiran tiga syarikat penerbangan baharu seperti British Airways, ThaiViet Jet dan 9 Air untuk mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Menerusi kenyataannya hari ini, MAHB berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini mengendalikan perkhidmatan 70 syarikat penerbangan yang melangkaui jumlah prapandemik sebanyak 69 syarikat susulan pelaksanaan usaha intensif bagi mengembangkan jaringan sedia ada.

Malah, syarikat itu kini dalam proses menarik kehadiran 15 syarikat penerbangan asing untuk beroperasi di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang, sekali gus melonjakkan KLIA sebagai hab antarabangsa pilihan.

“Bagi merancakkan perjanlanan udara, kami telah membuat pelaburan besar dalam inisiatif seperti Airline X-celeration Programme atau Program Peningkatan Syarikat Penerbangan yang turut merangkumi usaha seperti pengecualian fi, rebat sewaan pejabat lapangan terbang dan sokongan pemasaran.

“Kira-kira RM3 juta diperuntukkan bagi tujuan sokongan pemasaran  laluan Malaysia-China setakat ini yang hanya membuktikan lagi komitmen kami untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan,” katanya.

Pada Mei 2024, MAHB menyaksikan peningkatan aliran penumpang yang didorong oleh beberapa faktor, termasuk lanjutan perjalanan tanpa visa ke China selain pelancaran perkhidmatan baharu.

“Perkhidmatan itu termasuk laluan AirAsia dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India dan Juneyao Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai, masing-masing sebanyak empat kali seminggu,” katanya.

AirAsia turut menyambung semula penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Biju Patnaik di Bhubaneswar, India manakala China Eastern Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe, masing-masing menawarkan perkhidmatan sebanyak tiga kali seminggu, kata MAHB.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan