WILAYAH - SABAH > BERITA

KES CURI WANG DARI AKAUN BANK RM24.2 JUTA : WANITA DIREMAN TIGA HARI

21/06/2024 06:36 PM

KOTA KINABALU, 21 Jun (Bernama) -- Seorang wanita direman selama tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap sebuah bank, melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.

Wanita berusia 40-an itu, merupakan suspek terbaharu direman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.

Mahkamah yang sama turut membenarkan perintah reman terhadap 10 lagi suspek kes tersebut berusia 22 hingga 53 tahun, disambung selama tiga hari bermula hari ini, setelah kesemua mereka direman pada Isnin (17 Jun).

Semalam, mahkamah turut membenarkan reman terhadap seorang suspek yang merupakan ahli perniagaan bergelar Datuk disambung selama tiga hari bermula semalam, setelah direman pada Isnin.

Pada Rabu (19 Jun), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata 13 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan, bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata siasatan menunjukkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank, yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang kerana ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman bank.

Ramli berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan