WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EU KECAM SERANGAN KE ATAS PEJABAT ICRC DI GAZA, GESA SIASATAN BEBAS

23/06/2024 10:44 AM

ISTANBUL, 23 Jun (Bernama-Anadolu) -- Kesatuan Eropah (EU) pada Sabtu mengutuk serangan yang merosakkan pejabat Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Semenanjung Gaza baru-baru ini, mengakibatkan puluhan mangsa terbunuh.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell menerusi hantaran di X menekankan keperluan untuk mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab melalui siasatan bebas, lapor Agensi Anadolu.

Borrell menegaskan kepentingan melindungi orang awam, sambil menegaskan langkah sedemikian merupakan kewajipan di bawah Konvensyen Geneva dengan "semua pihak terlibat dalam konflik itu terikat" untuk mematuhinya.

Gesaan EU untuk akauntabiliti menekankan keperluan mendesak untuk memastikan bahawa ICRC boleh meneruskan usaha kemanusiaannya dengan selamat.

Organisasi itu memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan dan bantuan kepada mangsa konflik, serta akses kepada tahanan, di bawah rangka kerja Konvensyen Geneva.

ICRC melaporkan bahawa pejabatnya di Gaza yang dikelilingi oleh ratusan orang awam kehilangan tempat tinggal, telah rosak pada Jumaat akibat serangan berhampiran.

Kejadian itu menyebabkan ramai mangsa dimasukkan ke hospital medan Palang Merah berhampiran, dengan kemudahan itu menerima 22 mayat dan 45 orang cedera.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan