WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KAPAL LCS KEDUA CAPAI STATUS KEMAJUAN 64.66 PERATUS - MOHAMED KHALED

24/06/2024 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Status pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) kedua ketika ini mencapai kemajuan 64.66 peratus, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata jumlah bayaran yang dibuat bagi pembinaan kapal LCS kedua itu adalah berdasarkan kontrak yang telah ditandatangani, dan bukannya mengikut kemajuan setiap kapal secara individu.

“Bayaran dilaksanakan mengikut kemajuan keseluruhan projek LCS sebagaimana pandangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

“Selaras dengan perkara itu kerajaan telah membayar RM7.15 bilion iaitu bersamaan 63.69 peratus, berbanding perancangan asal pembayaran iaitu 68.43 peratus berdasarkan kontrak mengikut kemajuan semasa perolehan LCS kelima-lima kapal secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang bertanyakan peratus terkini pembinaan kapal LCS kedua serta jumlah bayaran yang telah diselesaikan Kementerian Pertahanan kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS).

Mohamed Khaled berkata status terkini bagi kapal LCS ketiga pula berada pada tahap 56.48 peratus, manakala LCS keempat 51.10 peratus, dan kapal LCS kelima 42.33 peratus.

Beliau berkata kementerian menaruh keyakinan bahawa projek pembinaan lima kapal LCS itu dapat diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut tempoh masa yang telah dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham yang ingin tahu sama ada kerajaan berminat untuk mendapatkan kapal HMAS Anzac dari Australia yang baru dilucutkan tauliah pada Mei lepas bagi penggunaan sementara TLDM, beliau berkata kapal itu tidak bersesuaian untuk kegunaan sementara.

“Setelah diteliti TLDM merumuskan kapal yang dimaksudkan itu… ia tidak bersesuaian. Ia adalah berdasarkan perkara seperti isu commonality peralatan selain kos perolehan yang tidak menguntungkan kepada kerajaan, lebih-lebih lagi jika kita lakukan perolehan terhadap kapal HMAS Anzac.

“Proses perolehan itu dijangka akan mengambil masa yang lama, sehingga 2027 dan pada tahun itu kita sudah dibekalkan dengan dua kapal LCS. Kapal itu akan diserah kepada TLDM dan mula beroperasi dalam tahun 2027,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan baru-baru ini juga telah membuat perolehan bagi mendapatkan tiga kapal misi pesisir (LMS) dari Turkiye yang dijangka siap menjelang akhir 2027.

“Jadi lima kapal akan mula berkhidmat dengan TLDM dan oleh kerana hampir keseluruhan kapal HMAS Anzac ini menggunakan peralatan yang berbeza, maka kita membuat keputusan ia tidak sesuai dan bukan untuk kepentingan kerajaan serta rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan