WILAYAH - UTARA > BERITA

KENALI SUNGAI BAKAP, SEBAHAGIAN ‘UTARA TRIANGLE’

26/06/2024 03:06 PM

Oleh Lucia Terey Anak John

NIBONG TEBAL, 26 Jun (Bernama) -- Pernahkah anda terbayang mampu berada di tiga negeri hanya dalam beberapa minit? Hal itu seperti mustahil, namun bagi penduduk Sungai Bakap ia sesuatu yang biasa.

Sungai Bakap, bandar dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang merupakan satu daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Nibong Tebal terletak bersempadan antara Parit Buntar, Perak dan Bandar Baharu, Kedah sekali gus menjadikan kawasan ini digelar sebagai ‘Utara Triangle’.

Guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Nor Hannani Aminah Mahmud, 41, berkata kedudukan Sungai Bakap yang strategik membolehkan penduduk merentas tiga negeri pada bila-bila masa, tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh sepertimana ke lokasi lain di Malaysia.

“Sungai Bakap ni unik. Nak pergi kerja kena lalu Kedah dulu, kemudian makan tengah hari pula di Perak.

“Kalau balik beraya pun, kami tidak tertekan menghadap perjalanan yang jauh sebab kurang sejam, dah boleh tembus (sampai) kampung,” katanya yang mengajar di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) An Najah, di sini kepada Bernama.

Nor Hannani Aminah yang tinggal di Taman Pekaka di sini mengakui kelebihan itu sudah tentu mempunyai cabarannya sendiri, terutama ketika peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

“Selalunya kalau orang Nibong Tebal atau Sungai Bakap nak beli barang, mereka akan pergi ke Parit Buntar, jadi semasa PKP tempoh hari, agak susahlah sedikit sebab tidak boleh nak merentas negeri.

“Perkara sama juga dihadapi orang Bandar Baharu. Kalau nak ke bank, mereka kena pergi Parit Buntar untuk keluarkan duit sebab di kawasan mereka, tiada bank. Mujurlah dulu ada kelonggaran diberikan untuk urusan-urusan terdesak,” katanya.

Berdasarkan hantaran menerusi Facebook, ada penduduk memaklumkan mereka turut berkongsikan poskod bermula dengan nombor yang sama iaitu 34 bagi kawasan Parit Buntar dan Bandar Baharu.

“Bukan itu sahaja kod telefon pun berkongsi iaitu 05. Ada kawasan juga hanya dipisahkan oleh sebatang jalan. Menarik dan sedikit teruja bagi orang luar yang baru datang menetap di sini,” menurut hantaran yang dikongsikan Azril Ahmad dalam akaun Facebooknya.

Sungai Bakap menjadi tumpuan beberapa minggu ini kerana akan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 6 Julai depan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan