WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WAI CHING PERTAHAN KEJUARAAN LARIAN MENARA MBPJ 2024, CIPTA REKOD BAHARU KEJOHANAN

30/06/2024 12:45 PM

PETALING JAYA, 30 Jun (Bernama) --  Jaguh larian menara negara Soh Wai Ching sukar digugat selepas mempertahankan gelaran kategori lelaki terbuka Larian Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2024 di sini, hari ini.

Pelari menara nombor satu dunia itu jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi sejak awal saingan sebelum berjaya menawan menara setinggi 25 tingkat yang mempunyai 552 anak tangga dengan masa terpantas satu minit 49 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod dicatatnya pada tahun lepas (1:57s).

Lebih manis, kejayaan Wai Ching diiringi kemenangan anak buahnya, Muhammad Hazim Zuhairi Azahari yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan catatan masa 2:05 s manakala tempat ketiga milik atlet Taiwan Ching Chun Lo (2:16s).

“Hari ini pertandingan agak sengit sebab ada pelari no 10 dari Taiwan sertai kejohanan masuk dan anak buah saya yang sekarang ini ranking nombor 12 dunia. Mereka berdua ini bagi tentangan sebab menara ini rendah 25 tingkat.

“Keseluruhannya, saya puas hati sebab dapat buat masa yang terbaik. Tapi saya rasa masa itu boleh lagi cepat sebab tadi, ketika lima tingkat terakhir, saya dah mula perlahan,” katanya kepada Bernama.

Ditanya prestasi Muhammad Hazim, Wai Ching nyata berbangga dengan pencapaian pelari tersebut selepas berjaya menewaskan pencabarnya yang mempunyai ranking yang lebih tinggi.

“Ini satu tanda sangat baik dan harap dia cemerlang dalam sukan ini. Harap pada hujung tahun ini, dia boleh duduki lima teratas ranking dunia satu hari nanti supaya saya ada pengganti yang boleh meneruskan sukan ini,” katanya.

Sementara itu, kategori wanita terbuka menyaksikan pelari menara negara, Nurul Juliana Shakira Abdul Halim muncul juara selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa tiga minit menewaskan rakan senegara yang juga juara edisi lepas, Tan Bee Kiang (3:03s).

Tempat ketiga dimenangi seorang lagi pelari negara Valerie Sarah Ong yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:16 s.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan