WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GUGUR KEAHLIAN: ADUN SELAT KLANG AKAN KEMUKA MAKLUMAT, FAKTA KEPADA SPEAKER DUN SELANGOR

26/06/2024 06:30 PM

SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang Datuk Abdul Rashid Asari akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San bagi mengemukakan fakta dan maklumat berhubung status kerusi DUN yang disandangnya susulan penyerahan notis pemakluman kekosongan kerusi itu Jumaat lepas.

Abdul Rashid berkata beliau telah bertemu dengan Lau hari ini dan dimaklumkan kedudukannya selaku ADUN Selat Klang masih sah sehingga diputuskan pada sidang DUN yang dijadual bermula Khamis hadapan.

Beliau berkata difahamkan keputusan yang akan dibuat itu turut mengambil kira maklumat atau surat yang bakal dikemukannya kepada Speaker kelak.

"Ketika ini saya akan teruskan tugas sebagai ADUN dan masih lagi menganggap diri sebagai ahli Bersatu kerana percaya notis yang diberikan kepada saya tidak efektif memandangkan notis di bawah Fasal 10(4) dan 10(5) di bawah Perlembagaan Bersatu hanya berkuat kuasa pada 1 April 2024.

"Pada saya, dari segi undang-undang Bersatu tidak boleh menggunakan pindaan itu untuk mengambil tindakan terhadap saya kerana sokongan terhadap kerajaan negeri dibuat sebelum pindaan berkenaan," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan Lau di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini.

Sebelum ini Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Selat Kelang kepada Lau berikutan keguguran keahlian Abdul Rashid sebagai ahli Bersatu.

Lau ketika dihubungi berkata beliau masih meneliti kes berkenaan dan menunggu dokumen atau maklumat yang akan diberikan Abdul Rashid sebelum sebarang keputusan mengenai kedudukannya selaku ADUN diputuskan.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan