WILAYAH - UTARA > BERITA

KERAJAAN BERUSAHA SELESAI MASALAH AIR SEMUA NEGERI, RENTASI PARTI POLITIK - PM ANWAR

29/06/2024 07:10 PM

BUTTERWORTH, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan berusaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri-negeri menghadapi kesukaran tersebut termasuk negeri dipimpin pembangkang, dalam membantu rakyat tanpa mengira soal parti politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam menyelesaikan masalah bekalan air di negeri pembangkang itu.

“Di Nibong Tebal ada masalah air, di Kedah ada masalah air, di Kelantan lagi masalah air dan di Sabah pun masalah air. Kita cuba selesaikan, dan di Kelantan saya tanya Menteri Besar Kelantan dan beliau maklumkan pam tak boleh bawa naik air iaitu sebab pam tak cukup tinggi untuk ambil air dan apa saya buat, saya arah beli segera pam.

“Ini bukan soal parti politik, ini soal rakyat yang kita buat untuk bantu... Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu) juga ambil keputusan (laksanakan) operasi pembenihan awan di Kelantan, supaya hujan di sana dan kita ikhtiarnya dengan baik supaya dapat selesaikan masalah air,” katanya ketika berucap merasmikan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) MADANI Pulau Pinang di Dewan Seberang Perai (SP) Arena di Seberang Jaya di sini.

Turut hadir Menteri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menterinya Datuk R.Ramanan dan Pengerusi Tekun Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Anwar menjelaskan di Pulau Pinang khususnya di Nibong Tebal, mengalami masalah air kerana air sungai di kawasan itu tidak cukup, justeru kerajaan mengambil langkah mengadakan perbincangan dengan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata perbincangan itu, telah berjaya mencapai keputusan kerana pihaknya telah membuat kajian yang kawasan Sungai Perak mempunyai banyak air serta mencukupi untuk negeri itu, manakala yang berlebihan boleh dibekalkan ke Kerian, Perak dan seterusnya diberikan ke selatan Pulau Pinang iaitu Sungai Acheh, Sungai Bakap, Nibong Tebal dan Batu Kawan.

“Akhirnya kita berjaya luluskan projek itu (Projek Air Perak-Pulau Pinang) dengan peruntukan belanja RM4 bilion, ia untuk siapa? Untuk rakyat Perak dan Pulau Pinang, peluang tersebut dari air Sungai Perak untuk kegunaan rakyat di Perak dan Pulau Pinang,” katanya.

Anwar juga memaklumkan Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, menjalankan pengurusan dan tatakelola yang baik, justeru kerajaan di bawah pimpinannya itu berbeza dengan apa yang cuba dicerminkan oleh segelintir pihak.

Menyentuh mengenai TEKUN Nasional, pemimpin nombor satu negara yang mempunyai jadual padat di Pulau Mutiara hari ini, berkata agensi tersebut bermatlamat untuk membantu meningkatkan sumber pendapatan rakyat yang berpendapatan rendah, dengan memberikan pinjaman untuk menjalankan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berjanji jika TEKUN Nasional terus mengurus dengan baik dan mencatatkan prestasi yang lebih bagus, peruntukan bagi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu, akan ditambah dalam Belanjawan 2025 akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan