WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARGA EKSPORT MALAYSIA NAIK 0.7 PERATUS PADA MEI 2024 - PERANGKAAN

28/06/2024 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Harga eksport Malaysia pada Mei 2024 meningkat 0.7 peratus daripada 149.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.3 mata (2010=100), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Mei 2024 yang dikeluarkan hari ini, DOSM berkata terma perdagangan Malaysia juga meningkat sebanyak 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 114.8 mata.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport naik pada Mei 2024 berbanding bulan sebelumnya disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian sebanyak 1.5 peratus, bahan kimia (0.5 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.3 peratus).

Begitu juga, DOSM melaporkan indeks volum eksport meningkat 11.0 peratus selaras dengan peningkatan indeks pelbagai barang keluaran kilang sebanyak 21.2 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (11.9 peratus) dan minyak galian (7.5 peratus).

"Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut bertambah 21.7 peratus daripada 141.7 mata kepada 172.5 mata.

"Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing menokok 6.1 peratus dan 1.2 peratus," katanya.

Sementara itu, DOSM berkata indeks volum import turut menokok 10.3 peratus pada Mei 2024 berbanding April 2024, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian sebanyak 26.0 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (10.9 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (6.0 peratus).

Ia berkata indeks volum import pelarasan bermusim menokok 20.9 peratus daripada 182.6 mata kepada 220.9 mata.

Menurut DOSM, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 2.4 peratus dan 11.1 peratus.

"Terma perdagangan Malaysia juga bertambah 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 114.8 mata pada Mei 2024, didorong oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 1.6 peratus, bahan mentah tidak boleh dimakan (1.2 peratus) dan makanan (1.0 peratus).

"Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 3.6 peratus daripada 110.8 mata pada Mei tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan