WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMANDU BAS PERSIARAN TERLIBAT NAHAS DI GENTING HIGHLANDS TIADA LESEN MEMANDU - POLIS

29/06/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pemandu bas persiaran terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands yang mengorbankan dua pelancong China didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan lanjut juga mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata dua mangsa lelaki yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49.

Kemalangan itu katanya melibatkan 18 pelancong asing selain masing-masing seorang pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong warga tempatan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Pahang untuk tindakan lanjut termasuk enam mangsa yang cedera. 13 mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi, bas persiaran itu dipercayai terbabas dan melanggar tembok  pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke ibu negara di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan