WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANGUNAN BAHARU SK RANCANGAN BELIA TIULON BERNILAI RM26.9 JUTA SIAP PADA 2026

29/06/2024 07:27 PM

SOOK (Keningau), 29 Jun (Bernama) -- Pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Belia Tiulon melibatkan kos RM26.9 juta dijangka siap pada suku keempat tahun 2026, kata Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata projek itu melibatkan pembinaan enam unit bilik darjah, bangunan pentadbiran, lapan unit kuarters guru, sebuah makmal sains, serta sebuah bengkel Rekabentuk Teknologi.

Beliau berkata projek yang terletak di Sook, daerah di kawasan pedalaman Sabah sekitar 145 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu itu, merupakan inisatif Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membangunkan infrastruktur pendidikan selesa dan selamat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Projek tersebut merealisasikan hasrat saya dan KPM untuk membina sebuah sekolah yang lengkap di Kampung Rancangan Belia Tiulon sebagai langkah menampung permintaan masyarakat setempat yang semakin meningkat.

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam pendidikan berteraskan kepada keperluan rakyat bagi memastikan pelajar mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan selesa dalam mencapai perkembangan optimum,” katanya dalam kenyataan selepas melakukan pecah tanah projek itu di sini hari ini.

Sementara itu, Arthur berkata sehingga kini di Parlimen Pensiangan sebanyak empat sekolah daif telah siap dinaik taraf dan diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah iaitu SK Inandung, SK Simbuan, SK Penagatan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Cheng Ming.

Beliau berkata projek naik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid pula dalam fasa perancangan dan naik taraf SMK Nabawan sedang dalam fasa pembinaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan