WILAYAH - UTARA > BERITA

MOTAC PERUNTUK RM4.9 JUTA KEPADA 62 PERSATUAN, SYARIKAT SENI DI PERAK SEJAK 2022

29/06/2024 10:20 PM

TELUK INTAN, 29 Jun (Bernama) --  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memperuntukkan RM4.9 juta kepada 62 persatuan dan syarikat seni bagi pelaksanaan program seni budaya di Perak sejak Jun 2022 hingga bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata peruntukan itu merupakan insentif dalam bentuk Geran Sokongan Sektor Kebudayaan bagi merancakkan lagi pelaksanaan aktiviti seni dan budaya.

"MOTAC sentiasa membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya dan syarikat seni di negeri ini untuk terus bergerak melaksanakan aktiviti menyemarak dan merakyatkan seni dan budaya," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini malam ini.

Beliau berkata Temasya Budaya @ Negeri Perak merupakan satu daripada 15 program pelancongan budaya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di seluruh negara.

Menurut Mohd Yusri bersempena Tahun Melawat Perak 2024, MOTAC sentiasa mengalukan-alukan dan membantu pelaksanaan program di peringkat negeri bagi memeriahkan aktiviti seni budaya tempatan yang secara tidak langsung memberi impak positif kepada aktiviti pelancongan setempat.

Temasya Budaya @ Negeri Perak selama empat hari sejak Khamis dianjurkan MOTAC melalui JKKN bersama-sama Majlis Kebudayaan Negeri Perak dengan sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Program berkenaan menampilkan pelbagai acara seni dan budaya yang terdapat di Perak antaranya Festival Homestay Perak, Klinik Seni Budaya, Busana Run, Pertandingan Serikandi Puteri Perak, Pertandingan Gendang Urumi, Pertandingan Dabus Kreasi, Pertandingan Sambey Perak, Pertandingan Tulisan Jawi, Demonstrasi Adat Berjojak dan Demonstrasi Tekat Benang Emas.

Majlis perasmian turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Dayang Nurfaizah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan