WILAYAH - UTARA > BERITA

WANITA CEDERA JATUH GAUNG KETIKA TURUN DARI PUNCAK GUNUNG KORBU

08/07/2024 09:24 PM

IPOH, 8 Julai (Bernama) -- Seorang wanita cedera selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter ketika menuruni Puncak Gunung Korbu di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata melalui maklumat diterima, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai mengalami kecederaan tulang rusuk.

“Laporan berhubung kes berkenaan diterima sekitar jam 3.29 petang dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) telah digerakkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun ke lokasi kejadian.

“Komander Operasi Kanan bersama 12 anggota dengan kelengkapan menyelamat dibantu beberapa orang malim gunung telah bergerak ke lokasi kira-kira jam 4.20 petang tadi bagi membuat kerja-kerja penyelamatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sabarodzi berkata operasi SAR yang dilaksanakan itu mungkin mengambil masa disebabkan faktor jarak, cuaca serta bentuk muka bumi kawasan berkenaan.

“Masa pendakian ke lokasi mangsa dianggarkan selama enam jam dan tempoh masa yang lebih lama diperlukan bagi membawa turun mangsa menggunakan teknik usungan.

“Selain itu, kita juga terpaksa menempuh pendakian pada waktu malam, mengharungi  anak sungai serta jalan licin disebabkan hujan,” katanya.

Mangsa dikatakan menyertai trip Pendakian Korbu dan Gayong bersama 34 lagi peserta sejak 6 Julai lepas. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan