WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAJA PERMAISURI AGONG DIWASALKAN DARJAH KERABAT PERAK

15/07/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan diwasalkan Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati Perak di Istana Negara di sini hari ini.

Dalam hantaran menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati Perak itu diwasalkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam satu istiadat di Dewan Seri Maharaja.

Istiadat mewasalkan darjah kerabat Perak itu turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati Perak dipersembahkan kepada Sultan-sultan pemerintah negeri dan Raja-raja Permaisuri serta pemerintah tertinggi luar negeri.

Raja Permaisuri Agong diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.

Seri Paduka Baginda merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan