WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIGA PRODUK BAHARU DITAMBAH DALAM PROGRAM MELAKA BILA LARUT MALAM - EXCO

11/07/2024 01:55 PM

MELAKA, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan menambah tiga produk baharu di bawah ‘Program Melaka Bila Larut Malam’ pada bulan ini bagi menggamit lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka 2924 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata ia membabitkan Melaka Cool Ghost Museum di Kampung Hulu dan Malaysia Heritage Studios di Ayer Keroh.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) turut menyertai Program Melaka Bila Larut Malam dengan menganjurkan Car Free Zone @ Santai Alor Gajah,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) mengenai perancangan kerajaan negeri dan agensi-agensinya terhadap Program Melaka Bila Larut Malam.

Abdul Razak berkata Program Melaka Bila Larut Malam yang dianjurkan kali pertama pada 1 Jun lalu berjaya menggamit 30,352 pengunjung berdasarkan kehadiran mereka ke destinasi pelancongan terlibat dengan program berkenaan.

Katanya kawasan Stadthyus merekodkan kehadiran 19,798 orang, Zoo Melaka (4,012 orang), Melaka River Cruise (3,896 orang), Menara Taming Sari (1,357 orang), Muzium Penjara Malaysia Melaka (770 orang), muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (289 orang) dan Panggung Bangsawan (230 orang).

Program Melaka Bila Larut Malam menawarkan tiket masuk serendah RM10 di beberapa lokasi pelancongan dan dilaksanakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Bagaimanapun, bagi bulan ini,  program dianjakkan ke 13 Julai bagi menghormati sambutan Maal Hijrah pada Sabtu lalu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan