WILAYAH - SARAWAK > BERITA

USAHA PUJUK PAN GON TIDAK BERHASIL - YUSOFF MAHADI

16/07/2024 04:50 PM

PETALING JAYA, 16 Julai (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah berusaha memujuk Kim Pan Gon untuk terus mengemudi skuad Harimau Malaya hingga kontraknya tamat secara rasmi pada akhir tahun depan, kata Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Bagaimanapun beliau berkata ia menemui jalan buntu selepas pengendali berusia 55 tahun itu kekal dengan pendirian untuk meletakkan jawatan.

"Pan Gon dah jumpa pihak pengurusan tertinggi menyatakan hasrat beliau, kita telah berusaha memastikan ia tidak berlaku namun beliau tetap mahu memendekkan kontrak yang sepatutnya tamat pada Disember 2025.

"Sudah tentu kita sedih dan dukacita kerana sumbangan beliau yang besar telah membawa Harimau Malaya ke Piala Asia dan ranking dunia kita juga meningkat dalam tempoh dua tahun ini,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Pan Gon hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selaku ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki kebangsaan berkuat serta-merta atas alasan komitmen peribadi.

Mohd Yusoff berkata FAM dalam masa sama menghormati keputusan Pan Gon yang telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden FAM Datuk Seri Hamidin Mohd Amin sendiri.

Pan Gon dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada 21 Jan 2022 dan telah memacu banyak kejayaan serta keputusan positif dalam aksi antarabangsa hanya kira-kira lima bulan selepas dilantik ke jawatan itu.

Pencapaian terbaik dikecapi pengendali dari Korea Selatan itu adalah menamatkan penantian 42 tahun untuk Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit.

Bekas pengendali Hong Kong itu telah membantu skuad kebangsaan beraksi di pentas Piala Asia 2023 dan juga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Selain itu beberapa keputusan positif lain turut diraih anak buah Pan Gon ketika berdepan pasukan di kelompok 100 dunia termasuk bangkit mengikat pasukan di tangga 92 dunia Syria 2-2 dan seri 1-1 dengan China (79) di gelanggang lawan.

Malah Harimau Malaya yang berada di ranking ke-137 dunia pada satu ketika berjaya mengatasi pasukan di ranking 102 dunia, India 4-2 dalam aksi Pestabola Merdeka pada Oktober tahun lepas.

Malaysia menghuni ranking ke-154 dunia ketika Pan Gon mula mengambil alih pasukan dan terkini berada di kedudukan 135 dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan