WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUN PERAK LULUS USUL BERKAITAN TERNAKAN BERKELIARAN DAN FENOMENA CUACA EKSTREM

11/07/2024 02:42 PM

IPOH, 11 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang berakhir hari meluluskan usul mengadakan persidangan khas bagi menangani isu fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat di negeri ini. 

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata usul itu dipersetujui dengan lebih suara bersetuju.

Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) ketika menggulung usul persendiriannya itu berkata persidangan khas merujuk kepada suatu mesyuarat atau pertemuan yang diadakan di luar jadual biasa dengan tujuan membincangkan isu-isu tertentu yang mendesak atau memerlukan perhatian segera. 

"Persidangan Khas bukan Sidang Dewan Khas, Tuanku Sultan sahaja boleh memperkenankan Dewan Undangan Negeri Perak untuk bersidang... Apabila kita bawa usul ini ke dewan dan diluluskan, maka kita akan dapat “punca kuasa” daripada dewan untuk menjalankan persidangan khas ini. 

“Ini adalah inisiatif dan tanggungjawab saya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mencari jalan membantu rakyat Perak menghadapi cabaran impak fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat," katanya.

Seramai enam ADUN dari blok pembangkang dan kerajaan mengambil bahagian pada sesi perbahasan mengenai usul tersebut, semalam.

Persidangan kali ini turut meluluskan usul penubuhan satu Jawatankuasa Dewan Khas bagi membincangkan Enakmen atau Peraturan Baharu Berkaitan Pengawalan Haiwan-Haiwan Berkeliaran di Negeri Perak.

Koo Haai Yen (PH-Keranji) ketika menggulung usul tersebut berkata dengan menggubal enakmen yang baharu bagi mengawal haiwan-haiwan berkeliaran, ia memastikan tragedi seperti kemalangan maut yang membabitkan lembu atau kerbau tidak berlaku lagi.

"Saya berharap pihak kerajaan negeri juga boleh menyediakan geran ataupun program dengan membantu penternak lembu dan kerbau dalam melaksanakan 'modern farming' secara tertutup dan tidak lagi melepaskan lembu dan kerbau mereka (berkeliaran)," katanya.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan