WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAMPIR 9.2 JUTA DOS VAKSIN COVID-19 LUPUT SEHINGGA 11 JUN LEPAS - DZULKEFLY

11/07/2024 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sebanyak 9,159,151 dos vaksin COVID-19 pelbagai jenama di fasiliti atau gudang simpanan Kementerian Kesihatan (KKM) telah luput sehingga 11 Jun lepas, melibatkan sekitar 10.8 peratus daripada jumlah dos yang didapati secara perolehan dan sumbangan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah kerugian termasuk dari segi logistik dan penyimpanan stok vaksin adalah sebanyak RM185 juta (US$40 juta).

"Proses pelupusan dan pelaporan vaksin yang dalam simpanan KKM dilaksanakan mengikut tatacara pengurusan aset dan tatacara pengurusan stok," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu jumlah sebenar vaksin COVID-19 terpaksa dilupuskan kerana telah tamat tempoh dan anggaran kerugian ditanggung kerajaan.

Beliau berkata sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Feb 2021, kerajaan telah menerima 84.5 juta dos vaksin melalui perolehan atau sumbangan.

Berhubung soal kerugian, Dzulkefly berkata beliau tidak bermaksud negatif terhadap menteri-menteri terdahulu disebabkan ketiadaan prosedur operasi standard (SOP), pendekatan amalan baik atau penanda aras kerana ia melibatkan pandemik kali pertama melanda negara.

"Dengan itu saya memahami kalaupun ada lebihan (vaksin), ia adalah terkait dengan ketika itu persaingan untuk mendapatkan perolehan vaksin yang sangat sengit. 

"Maka persoalan bagaimana ada lebihan dan sebagainya, setelah kita mendepani pandemik ini, kita mempunyai sedikit sebanyak SOP dan amalan baik untuk mendepani pandemik yang ke depan," katanya.

Mengenai kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin COVID-19, Dzulkefly berkata kesan sampingan biasa yang direkodkan adalah sekitar 368 kes manakala kesan sampingan serius sebanyak 26 kes antaranya melibatkan kemasukan dalam wad, pemanjangan tempoh di wad serta Myocarditis atau radang otot jantung.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan