EKONOMI > BERITA

PKS PERLU DIBERI DIDIKAN, NASIHAT PADA TAHUN PERTAMA PELAKSANAAN E-INVOIS, KATA SAMENTA

16/07/2024 09:32 PM

PETALING JAYA, 16 Julai (Bernama) -- Kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberi didikan dan nasihat daripada kerajaan pada tahun pertama pelaksanaan sistem e-Invois berbanding dikenakan tindakan, kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).

Presidennya Datuk William Ng berkata ini berikutan kepantasan dan keupayaan PKS serta perniagaan memasukkan e-Invois dalam operasi perniagaan adalah berbeza, bergantung kepada jenis perniagaan masing-masing dan tidak wajar dikenakan tindakan, terutama pada tahun pertama pelaksanaan sistem terbabit.

“Ada PKS yang telah membuat persediaan untuk pelaksanaan e-Invois itu manakala segelintir lain, atas pelbagai alasan, lebih perlahan atau kurang bersedia. Sehubungan itu, tindakan menghukum itu sepatutnya dijadikan pilihan akhir.

“Sebarang kesilapan tidak disengajakan boleh berlaku dan ini mungkin dari pihak kakitangan perakaunan atau juruwang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi perbincangan meja bulat bertajuk ‘Cabaran dan Peluang bagi PKS dan Industri Runcit Malaysia’ di sini, hari ini.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sistem e-Invois bagi PKS akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Julai, 2025.

Fasa pertama pelaksanannya akan dimulakan pada 1 Ogos, 2024 dan hanya meliputi syarikat yang mencatat pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

LHDN berkata kegagalan mengeluarkan e-Invois itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan boleh dikenakan kadar penalti minimum RM200 sehingga maksimum RM20,000 dengan pengenaan penalti bergantung kepada setiap fakta kes.

Awal hari ini, Kementerian Digital menyatakan kesediaan membantu kalangan peniaga dan usahawan PKS yang menghadapi kesukaran dalam melaksanakan sistem e-Invois.

Mengulas selanjutnya, Ng berkata SAMENTA tidak menyokong idea bagi pengecualian atau penangguhan e-Invois untuk PKS, malah yakin kalangan perniagaan itu mampu menyesuaikan diri dan memanfaatkan sistem itu apabila beroperasi kelak.

“Tindakan menangguhkan pelaksanaan selama enam bulan, setahun atau dua tahun sekalipun, tidak membolehkan mereka bersedia selagi tidak berbuat demikian," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan hari ini, syarikat perisian pengurusan runcit Web Bytes Sdn Bhd berkata keadaan inflasi yang terus meningkat menyaksikan peruncit Malaysia bergelut dengan kenaikan kos yang boleh menjejaskan keuntungan.

Berikutan itu, penekanan harus ditumpukan kepada kepentingan teknologi dalam membantu peruncit mengharungi cabaran ekonomi terbabit secara berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Web Bytes Ooi Boon Sheng berkata kelompok 10 pedagang runcit teratas Xilnex, mengakui hampir 50 peratus pelanggan kini membayar menggunakan e-dompet.

“Peralihan kepada transaksi tanpa tunai ini dapat mengurangkan kos operasi dengan ketara selain meminimumkan risiko pengendalian tunai, sekali gus mengurangkan risiko kerugian akibat kecurian atau kesilapan.

“Menerusi usaha memanfaatkan analitik masa nyata, pandangan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan automasi, kami memperkasa peruncit untuk tidak hanya menguruskan tekanan inflasi tetapi memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan pengalaman pelanggan mereka," katanya. 

Sistem pembayaran tanpa sentuh misalnya telah mendapat tarikan walaupun dalam kalangan peruncit PKS yang berhasrat meningkatkan kemudahan pelanggan dan memperkemas transaksi.

Web Bytes berkata dasar e-Invois dan analitik yang dipacu Al, turut membolehkan peniaga menawarkan kaedah lebih baik dalam memahami tingkah laku pengguna, penyediaan tawaran lebih khusus serta mengoptimumkan strategi harga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan