WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA PERLU KETUAI PEMBAHARUAN PENTING DALAM RUNDINGAN COC - BEKAS DIPLOMAT

11/07/2024 07:05 PM

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Malaysia, yang bakal menerajui ASEAN sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, perlu menerajui pembaharuan penting dalam pendekatan rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, kata seorang bekas diplomat.

Profesor Adjung Universiti Malaya dan ahli Persatuan Bekas Duta-duta Besar Malaysia (AFMA) Datuk Dr Ilango Karuppannan  berkata langkah itu boleh memulihkan keyakinan dalam kalangan negara anggota ASEAN, terutamanya Filipina, yang telah menyatakan kebimbangan mengenai hala tuju rundingan semasa.

Sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang, beliau berkata Malaysia perlu menyokong pendekatan yang diperbaharui, menekankan kepentingan ASEAN yang menghormati kedudukan unik negara-negara penuntut di samping mengekalkan perpaduan serantau secara keseluruhan.

"Dengan mengambil langkah-langkah ini, Malaysia berhasrat untuk memainkan peranan penting dalam mereformasi proses rundingan COC, memastikan kepentingan negara-negara penuntut diwakili dengan secukupnya dan ASEAN secara keseluruhannya membentangkan barisan bersatu dalam berurusan dengan China.

"Reformasi strategik ini menekankan komitmen Malaysia terhadap kestabilan dan kerjasama serantau, menetapkan landasan untuk rundingan yang lebih berkesan dan tertumpu di Laut China Selatan, rantau yang mempunyai kepentingan geopolitik yang signifikan," katanya pada forum mengenai Masa Depan ASEAN Di Bawah Kepengerusian Malaysia di sini Khamis. 

Anggota ASEAN termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Negara-negara penuntut ASEAN di Laut China Selatan, kawasan yang strategik dan kaya dengan sumber yang tertakluk kepada tuntutan wilayah bertindih ialah Vietnam, Malaysia, Filipina dan Brunei.

ASEAN dan China telah merundingkan COC selama bertahun-tahun, dengan harapan untuk mengurus dan menyelesaikan pertikaian secara aman dan mengekalkan kestabilan di rantau ini.

Walau bagaimanapun, rundingan berjalan perlahan dan mencabar kerana kepentingan negara yang berbeza dan kerumitan tuntutan bertindih.

Karuppannan mencadangkan proses dua langkah untuk menyelaraskan rundingan dan membentangkan barisan bersatu.

"Proses ini akan bermula dengan perbincangan eksklusif dalam kalangan negara-negara penuntut ASEAN sebelum melibatkan negara anggota ASEAN yang lain.

"Kita perlu memformatkan semula proses rundingan mengikut pemikiran asalnya. Rundingan harus bermula dengan negara-negara penuntut terlebih dahulu. Ini membolehkan kita menyelaraskan kedudukan kita dan membentangkan barisan bersatu kepada China," katanya.

Beliau berkata langkah pertama akan melibatkan mesyuarat tertumpu dalam kalangan negara penuntut bagi merangka kedudukan dan strategi bersama.

"Perbincangan awal ini akan memastikan kepentingan dan kebimbangan negeri-negeri penuntut diwakili dengan secukupnya. Susulan itu, satu mesyuarat ASEAN yang lebih luas akan diadakan, melibatkan semua negara anggota bagi membincangkan kedudukan yang telah dipersetujui," katanya.

Beliau berkata mesyuarat itu perlu dipengerusikan oleh negara-negara penuntut ASEAN bagi memastikan perbincangan yang lebih fokus dan produktif.

"Dengan mencapai kata sepakat dalam kalangan negara penuntut, kita menghantar mesej kuat kepada China bahawa anggota ASEAN yang mempunyai kepentingan langsung adalah bersepadu dan mempunyai pendirian kolektif yang jelas," katanya.

Langkah kedua, katanya akan melibatkan ASEAN, yang diterajui oleh negara-negara penuntut, berunding dengan China dari kedudukan kekuatan dan perpaduan.

"Pendekatan ini dijangka meningkatkan perpaduan dalam ASEAN dan memastikan perbincangan yang koheren dan sejajar dengan kepentingan mereka yang terjejas secara langsung oleh pertikaian Laut China Selatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan