WILAYAH - UTARA > BERITA

JIN WEI, JURULATIH BERHUBUNG MELALUI TELEFON SEMASA SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

12/07/2024 05:02 PM

GEORGE TOWN, 12 Julai (Bernama) -- Perseorangan profesional wanita negara Goh Jin Wei akan menerima panduan, bimbingan dan sokongan berterusan daripada jurulatihnya Nova Armada menerusi panggilan telefon apabila beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, hujung bulan ini.

Ia berikutan permintaannya untuk membawa jurulatih dari Indonesia itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berjaya susulan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Pemain berusia 24 tahun itu berkata walaupun tanpa jurulatihnya, namun Persatuan Badminton (BAM) telah menyediakan jurulatih dan beliau telah menyesuaikan diri dengan jurulatih berkenaan.

"Jurulatih (Nova Armada) akan terus beri  sokongan, bimbingan dan panduan menerusi panggilan telefon sepanjang saya di Sukan Olimpik. Walaupun kecewa beliau tidak dapat bersama saya di sana (Paris) namun terima kasih kepada BAM yang telah sediakan jurulatih.

"Secara keseluruhanya iaitu mental dan fizikal saya sekarang ini adalah baik. Ada tempoh dalam dua minggu lagi...walaupun ini saya akan cuba yang terbaik untuk semua terutama negara Malaysia," katanya kepada pemberita di pejabat Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA), di Bukit Dumbar di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan daripada PBA sebanyak RM20,000 yang disampaikan oleh Presidennya Datuk Kah Kau Kiak.

Pada majlis itu, Jin Wei turut menerima sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang disampaikan oleh Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi.

Menurut Jin Wei, beliau akan berlepas ke Paris pada 23 Julai ini, dan badminton akan membuka gelanggang pada 27 Julai manakala undian pemain dijalankan hari ini.

"Saya pernah bermain di gelanggang sama pada Terbuka Perancis baru-baru ini. Saya harap kali ini di Olimpik akan berikan peluang lebih cerah dan bertuah kepada saya," katanya yang turut menyampaikan penghargaan kepada PBA dan kerajaan negeri atas sumbangan diberikan kepadanya hari ini.

Sementara itu, Gooi berkata sumbangan itu tanda sokongan kerajaan negeri dan PBA kepada satu-satunya atlet dari negeri itu yang layak ke temasya Olimpik kali ini.

"Selepas pendaftaraan untuk ke Olimpik ditutup, kita dapati hanya Jin Wei sahaja dari Pulau Pinang yang layak dan ini satu kebanggaan kepada rakyat negeri ini. Sebagai tanda sokongan kami salurkan sedikit bantuan kepadanya dan sebenarnya kita memang ada banyak bantuan khusus untuk atlet mewakili negara," katanya. 

Sukan Olimpik 2024 akan membuka tirai secara rasmi pada 26 Julai dan berakhir 11 Ogos depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan