WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PASUKAN MUAY THAI SARAWAK GIAT JALANI LATIHAN DI LUAR NEGARA - PRESIDEN PERSATUAN MUAY THAI

16/07/2024 11:52 AM

KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Pasukan muay thai Sarawak sedang giat menjalankan latihan intensif di luar negara bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim berkata dengan adanya pendedahan di luar negara mereka akan lebih mantap dan siap siaga untuk mempertahankan kehebatan Sarawak dalam arena sukan itu.

“Kita (pasukan muay thai) telah berusaha sedaya upaya untuk membuat  persiapan yang terbaik dan menghantar anak-anak yang bakal mewakili SUKMA berlatih bukan sahaja dalam negara, malah ke luar negara.

“Insya-Allah kita akan dapat mempertahankan status kita. Dalam SUKMA yang lepas, kita memperoleh dua pingat emas, perak dan gangsa…semua ada,” katanya di sini.

Jumaat berkata beliau optimis pasukan Sarawak mampu memberikan yang terbaik dan menyahut seruan untuk mengharumkan nama negeri dengan memperolehi kemenangan.

“Kita juga sedia maklum bahawa anak-anak muda Sarawak pasti ada yang akan mewakili bukan sahaja negeri tetapi juga mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam sukan muay thai. Perkembangan ini adalah satu kebanggaan bagi kami di persatuan,” katanya.

Pertandingan acara muay thai akan bermula pada 15 sehingga 20 Ogos di bahagian Bintulu di gelanggang Paragon Mall.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

--BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan