WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL PERLU DIBERI PERHATIAN SERIUS

13/07/2024 03:37 PM

KANGAR, 13 Julai (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kepentingan penjagaan kesihatan mental perlu diberi perhatian serius oleh semua rakyat Malaysia khususnya rakyat di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah setiap individu perlu cakna mengenai tahap kesihatan mental diri sendiri dan orang sekeliling, sama ada ahli keluarga tersayang, rakan sekerja dan masyarakat.

“Segeralah mendapatkan rawatan yang sewajarnya sekiranya bergejala bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar,” titah baginda ketika berkenan merasmikan program jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Perlis Hebat: Sihat Milik Semua di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, gaya hidup aktif dan pemakanan sihat perlu dijadikan amalan bagi meningkatkan ketahanan badan dalam mencegah penyakit dan rakyat Perlis disaran memanfaatkan segala kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang disediakan demi meningkatkan kualiti kesihatan dan kesejahteraan diri masing-masing.

“Banyak tempat-tempat riadah yang menenangkan di sekitar negeri Perlis ini. Bawalah keluarga untuk sama-sama beriadah demi kesihatan bersama. Amalan gaya hidup sihat sebenarnya dapat meningkatkan imuniti badan kita secara semula jadi,” titah baginda.

Baginda juga bertitah menyeru rakyat untuk memberikan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencapai matlamat mewujudkan kelestarian tahap kesihatan masyarakat.   

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan tiga klinik kesihatan baharu yang telah siap di Perlis iaitu Klinik Kesihatan Kampung Gial yang beroperasi pada 2 Okt 2020, Klinik Kesihatan Pauh (beroperasi pada 27 Mac 2023) dan Klinik Kesihatan Padang Besar (beroperasi pada 25 Sept 2023).

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan