WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN PAHANG ZAHIR HASRAT JADIKAN PULAU TIOMAN PULAU CONTOH

13/07/2024 04:50 PM

TIOMAN, 13 Julai (Bernama) -- Sejajar pengumuman Pulau Tioman sebagai Pulau Tenaga Hijau, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan menjadikan Pulau Tioman sebagai pulau contoh dari segi pemuliharaan alam semula jadi dan pengurangan pelepasan karbon.

Bagi merealisasikan hasrat itu, baginda bertitah agar pentadbir  merangka  satu bentuk kaedah atau formula yang boleh membantu memelihara keadaan alam sekitar di pulau peranginan itu.

"Saya harap segala bentuk pembinaan struktur di pulau ini perlu diawasi sebaik mungkin oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa... biarlah ambil masa dalam membuat keputusan dengan mengutamakan soal persekitaran.

"Saya juga tak mahu lihat masalah pencemaran disebabkan kereta dan motosikal yang berlebihan di pulau ini, kalau boleh adakan satu kaedah yang boleh mengawal pencemaran udara," titah baginda ketika merasmikan Malaysia Book of Records: The First LRT Coach Reef in Malaysia, di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut berharap penduduk di Pulau Tioman dapat menjaga kebersihan sungai selain memastikan kawasan sekeliling rumah terjaga.

"Saya nampak ada sesetengah rumah yang dah roboh, terbengkalai dan tidak berpenghuni, manakala terdapat sampah yang perlu dilupuskan supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan penyebaran penyakit.

"Mudah-mudahan segala usaha tersebut dapat dilaksanakan dalam masa terdekat meskipun ia agak mencabar memandangkan kedudukan pulau yang jauh selain faktor monsun," titah baginda.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan