WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKTA ANTILOMPAT PARTI PERLU LEBIH KETAT - MOHAMAD HASAN

13/07/2024 06:32 PM

KOTA TINGGI, 13 Julai (Bernama) -- Akta Antilompat Parti wajar dikaji semula bagi mengatasi kelompongan sedia ada sekali gus menghalang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri melompat ke parti lawan. 

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu wajar dilakukan bagi memastikan negara tidak kucar-kacir dengan tindakan ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding memperkasa kerajaan setelah dipilih rakyat.

"Kalau tidak dikaji, kita boleh lakukan proses recall seperti di England. Ini berlaku apabila terdapat Ahli Parlimen yang tidak sehaluan dengan parti, pengundi di kawasan itu boleh buat satu referendum dan sekiranya mendapat sokongan lebih 50 peratus, kerusi itu perlu dikosongkan serta pilihan raya diadakan semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Felda Sungai Sayong di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi memperbaiki kelompangan yang wujud dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti. 

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, dipetik sebagai berkata pada 2022 bahawa pihaknya pernah mengusulkan supaya pindaan terhadap akta tersebut dibuat namun ditolak oleh kerajaan ketika itu. 

Sementara itu, mengulas keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu, Mohamad berkata perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa beliau sebagai Speaker.

"Itu kuasa Speaker... kita ada pengasingan kuasa dan di dalam Parlimen, Speaker yang ada kuasa... sama juga di Dewan Undangan Negeri. Itu sebabnya bila kes ini dibawa ke mahkamah, mahkamah maklumkan mereka tidak masuk campur kerana ini adalah urusan legislatif, bukan judisiari," katanya.

Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata beliau sedia mempertahan jawatan Timbalan Presiden UMNO sekiranya jawatan itu dipertanding pada pemilihan akan datang.

"Saya akan pertahankan, kita bersilat sama-sama, menang kalah itu biasa dalam keluarga. Proses pemilihan kepimpinan itu amalan biasa dalam mana-mana organisasi termasuk UMNO.

“Itu adalah proses untuk memilih yang terbaik daripada yang baik-baik, jadi terpulang kepada ahli parti untuk buat pemilihan agar parti akan terus dapat diterajui sebaik mungkin demi menghadapi pilihan raya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan