WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL: LEBIH RM250 JUTA KETIRISAN DAPAT DIELAKKAN SETAKAT INI - AMIR HAMZAH

14/07/2024 04:00 PM

TUMPAT, 14 Julai (Bernama) -- Kerajaan menganggarkan lebih RM250 juta jumlah ketirisan diesel dapat dielakkan melalui penyeludupan atau penyelewengan dari stesen minyak di seluruh sempadan semenanjung negara sejak langkah penyasaran subsidi bermula 10 Jun lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sepanjang tempoh berkenaan, jualan diesel menunjukkan pengurangan 23 peratus atau RM6.5 juta liter sehari, manakala jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari.

Amir Hamzah berkata ketika harga bersubsidi di stesen minyak pada RM2.15 seliter sebelum ini, pihak industri telah mencari jalan menyumberkan bekalan diesel dari stesen minyak daripada membeli diesel secara komersial yang melebihi RM3 seliter.

"Sekarang dengan harga di stesen minyak pada RM3.35 seliter, industri tersebut telah beralih semula kepada membeli diesel secara komersial.

"Selain itu, terdapat stesen minyak di kawasan utara berdekatan dengan sempadan turut mengalami kejatuhan jualan diesel 40 hingga 50 peratus, sekali gus memaparkan kejatuhan aktiviti penyeludupan ke negara jiran disebabkan pengurangan margin keuntungan penyeludup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata penguatkuasaan terhadap ketirisan diesel oleh semua agensi kerajaan akan terus dipergiatkan dan menyeru kepada orang ramai supaya melaporkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan ini kepada pihak berkuasa.

Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan