WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: SEPAK TAKRAW WANITA MUNGKIN DIGUGURKAN

16/07/2024 06:46 PM

KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Sepak takraw wanita berpasukan berkemungkinan akan digugurkan daripada senarai acara temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berikutan jumlah penyertaan kurang daripada jumlah minimum yang ditetapkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata hanya Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan tuan rumah Sarawak mengesahkan penyertaan untuk acara itu, sedangkan syarat minimum SUKMA sesuatu acara itu perlu disertai sekurang-kurangnya enam pasukan.

“Hanya lima negeri sudah mendaftar untuk acara sepak takraw wanita dan ini tidak dapat memenuhi keperluan minimum enam pasukan. Kita akan ada mesyuarat SUKMA peringkat kebangsaan pada 18 Julai ini dan masih ada harapan untuk mengekalkan acara ini (untuk dipertandingkan),” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA Sarawak 2024 di sini hari ini, beliau berkata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan mempengerusikan mesyuarat SUKMA peringkat kebangsaan itu dan bakal membuat keputusan berhubung status sepak takraw wanita.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan hingga 5 Julai lepas, seramai 7,801 atlet sudah mendaftarkan diri untuk bertanding dalam 488 acara dari 37 jenis sukan pada temasya terbesar negara itu yang akan berlangsung di sembilan bahagian di Sarawak dari 17-24 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan