WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA PAPAN IKLAN TUMBANG DI MELAKA TIADA LESEN - EXCO

15/07/2024 10:44 AM

MELAKA, 15 Julai (Bernama) -- Dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini dalam kejadian angin kuat awal pagi semalam didapati tidak mempunyai lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata justeru, kesemua empat PBT akan memantau dan memeriksa semua papan iklan di negeri itu bagi memastikan ia berlesen dan pemasangannya mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata selain itu, tindakan berkenaan juga bagi memastikan tiada papan iklan haram dipasang di sekitar negeri itu sekali gus mengelak kejadian sama berulang yang berkemungkinan disebabkan tidak mengikut prosedur pemasangan ditetapkan.

"Alhamdulillah, kejadian semalam tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan pada orang awam, namun insiden ini perlu diberi perhatian serius oleh semua PBT bagi memastikan ia tidak berulang, terutamanya melibatkan papan iklan haram.

"Tindakan segera daripada PBT terlibat terhadap dua kes berkenaan akan diambil termasuk memeriksa dan memantau semua papan iklan lain sedia ada," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu 2024 yang dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan