WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MELAKA LANTIK TENTERA SEBAGAI AHLI MAJLIS PBT

12/07/2024 08:16 PM

ALOR GAJAH, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka melantik empat Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mewakili setiap kawasan pentadbiran masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia sebagai manifestasi kebersamaan dalam pengurusan masyarakat meliputi segenap aspek bagi menyokong agenda pembangunan negeri.

"Penglibatan tentera sebagai Ahli Majlis ini juga bagi memastikan pihak yang menjaga keselamatan negara turut tidak ketinggalan dalam memberikan pandangan untuk membangunkan sesebuah kawasan dalam PBT yang diwakili mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir PBT Negeri Melaka bagi tahun 2024 hingga 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Setiasusaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad.

Seramai 10 Ahli Majlis dan 11 Ahli Majlis Turut Hadir dilantik mewakili PBT masing-masing iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ).

Terdahulu dalam ucapannya, Ab Rauf meminta semua Ahli Majlis mencipta gerak kerja yang proaktif kepada seluruh jentera pentadbiran agar lebih progresif dan dinamik dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

"Semua Ahli Majlis juga perlu kerap turun padang di kawasan masing-masing bagi berinteraksi dengan realiti sebenar serta memahami keperluan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan