WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIDAK DAPAT TIDAK, ATLET RTG MESTI BAWA PULANG EMAS - MOM

16/07/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Atlet di bawah projek Road To Gold (RTG) tidak mempunyai pilihan selain memenangi emas yang diidam-idamkan Malaysia pada Sukan Olimpik 2024 di Paris. 

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib menegaskan hal itu bagi mewajarkan pelaburan ketara kerajaan dalam menyiapkan atlet-atlet terlibat untuk mencipta sejarah pada temasya sukan terbesar dunia itu.

"Kita mesti mencapai ini (menyumbang emas)...program itu bukan untuk Paris 2024 sahaja malah menyasarkan Los Angeles 2028 (LA 2028) dengan persediaan sudah pun berjalan.

"Sama ada kita boleh capai atau tidak, ia sangat bergantung pada atlet kita ketika hari pertandingan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan penjaaan daripada Milo kepada MOM, di sini, hari ini.

Projek RTG yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan tahun lepas, bertujuan menyelaraskan usaha dalam misi membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia dengan fokus pada edisi Paris 2024 atau LA 2028.

Setakat ini, RM25 juta telah dibelanjakan untuk projek itu meliputi elaun bulanan tambahan RM3,000 berserta sokongan sains sukan, pendedahan kejohanan dan kejurulatihan.

Antara atlet RTG yang akan bertanding di Paris 2024 termasuk jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara dunia beregu lelaki 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan.

Beliau turut mengingatkan kontinjen negara, termasuk atlet, agar tidak bergaul dengan orang awam semasa Sukan Olimpik atas sebab keselamatan, susulan ketegangan politik di Perancis.

Selain itu, Mohd Nazifuddin berkata jumlah penajaan yang diterima bagi edisi kali ini melebihi Tokyo 2020. 

"Saya tidak dapat memberikan angka yang tepat tetapi apa yang boleh saya katakan lebih banyak (daripada Tokyo 2020) kerana kami mempunyai penaja baru. Semasa COVID-19, tidak banyak syarikat yang berminat untuk menaja tetapi kini saya fikir minat terhadap sukan telah meningkat," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada Milo kerana terus menyokong para atlet dalam mengejar kecemerlangan sukan sejak penyertaan pertama Malaysia ke Sukan Olimpik sebagai Malaya di Melbourne 1956.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products, Lim Kerwin berkata kerjasama pihaknya dengan MOM adalah sehingga 2028 dan Milo menyediakan sokongan kewangan selain sumbangan dalam bentuk barangan untuk kontinjen negara bertanding di pelbagai temasya sukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan