WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH 2,000 KOMUNITI MADANI SERTAI PERMUKIMAN SEMPENA PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN

15/07/2024 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Lebih 2,000 ahli Komuniti MADANI akan menghadiri Permukiman Komuniti MADANI sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 pada 21 Julai ini di Cyberjaya. 

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia Muhammad Najmi Mustapha berkata permukiman itu akan menjadi platform untuk ahli komuniti berkongsi maklumat dan peranan sebagai badan bukan kerajaan bagi memastikan dasar, inisiatif dan maklumat kerajaan dapat disampaikan ke peringkat akar umbi.

“Permukiman khas ini melibatkan komuniti dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dijadual untuk menyampaikan amanat.

"Selain itu, terdapat pengisian program bicarawara secara santai menampilkan tokoh-tokoh yang akan bercakap tentang elemen komunikasi,” katanya dalam temu bual di radio Nasional FM hari ini.

Beliau berkata permukiman itu antara tiga agenda utama selain Program Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI yang dirancang sebagai pengisian majlis berkenaan.  

Selain itu Muhammad Najmi berkata terdapat lebih 25 reruai pameran oleh kementerian, agensi dan jabatan kerajaan disediakan bagi menyampaikan maklumat kepada pengunjung termasuk enam kaunter bergerak melibatkan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan. 

Beliau berkata antara kelainan dibawakan pada majlis pelancaran kali ini termasuk pameran yang menggambarkan budaya negeri di Semenanjung Malaysia menerusi Karnival Kita MADANI X HKHM 2024. 

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 petang di Cyber Event Hall, Cyberjaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan