WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TRAGEDI MH17: PETUGAS BERNAMA KONGSI PENGALAMAN BERHARGA LIPUTAN DI KIEV

16/07/2024 12:23 PM

Oleh Mohd Firdaus Md Saisi

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Sepuluh tahun telah berlalu, namun bagi dua petugas media dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang membuat liputan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, ia sememangnya pengalaman yang begitu sukar sekali untuk dilupakan.

Menceritakan peristiwa bersejarah yang menggemparkan dunia itu, Editor Bernama.com Mohd Razman Abdullah yang merupakan Ketua Meja Jenayah dan Keselamatan Bernama ketika itu berkata beliau mewakili Bernama untuk ke Kiev Ukraine bersama pasukan penyiasat yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat tragedi berkenaan pada 18 Julai 2014.

Beliau dan jurugambar Bernama Zulkarnain Kamaruddin bersama 131 anggota melibatkan Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai forensik polis tiba di Kiev Ukraine pada 19 Julai 2014 dan ditempatkan di sebuah hotel yang dikawal rapi oleh pasukan keselamatan negara berkenaan.

“Ukraine ketika itu berada dalam situasi konflik susulan peperangan dengan pasukan pemberontak, dengan kawasan aktif perang adalah di bahagian timur negara itu, dan seluruh negara diletakkan dalam keadaan berhati-hati, dan anggota pasukan penyiasat juga tidak boleh sesuka hati keluar dari hotel penginapan.

Beliau berkata situasi keselamatan pasukan penyiasat di hotel berkenaan bertambah berbahaya selepas mereka berjaya mendapatkan dua kotak hitam pesawat malang berkenaan yang diserahkan oleh ketua pemberontak Alexander Borodai di Donetsk, lokasi pesawat berkenaan ditembak jatuh.

Mohd Razman berkata beliau difahamkan beberapa orang anggota pasukan berkenaan telah ke Donetsk kira-kira 700 kilometer dari Kiev, untuk berunding bagi mendapatkan kotak hitam berkenaan, dan mayat mangsa nahas.

“Bagi mengelirukan pihak yang ingin merampas kotak hitam berkenaan, semua anggota yang pergi ke rundingan itu mengenakan pakaian dan membawa beg yang seakan-akan sama, selepas hari itu kami sentiasa dalam keadaan berhati-hati dan gerak-geri kami seolah-olah diperhatikan,” katanya.

Walaupun berada di Ukraine selama kira-kira seminggu Mohd Razman berkata beliau tidak dapat menjejakkan kaki ke kawasan tragedi berkenaan susulan kawasan itu terletak di bawah penguasaan kumpulan pemberontak selain ia merupakan kawasan aktif perang.

“Hanya anggota pasukan forensik polis dan anggota SMART mempunyai akses untuk ke lokasi berkenaan dan segala maklumat kemudian disalurkan kepada pasukan media oleh ketua pasukan penyiasat Khairil Hilmi Mokhtar,” katanya.

Mohd Razman turut berasa bertuah dapat membuat liputan tragedi itu yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada sejarah negara dan satu pengalaman yang amat berharga kepadanya sebagai seorang wartawan kerana ia merupakan kejadian pertama pesawat milik sebuah syarikat tempatan ditembak jatuh di luar negara.

“Ditambah dengan negara berkenaan yang sedang berada dalam krisis perang, ia sememangnya merupakan satu cabaran besar untuk menulis satu laporan yang seimbang dan tidak menyinggung atau menyebelahi mana-mana pihak kerana ia mungkin menyukarkan tugas petugas pasukan penyiasat dan lebih teruk membahayakan nyawa mereka yang terlibat,” katanya.

Sementara itu bagi Zulkarnain pengalaman melihat rakyat Belanda yang beratur berpuluh-puluh kilometer bagi menghormati ketibaan jenazah mangsa nahas MH17 di Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, adalah antara peristiwa yang sukar dilupakan semasa membuat liputan tragedi berkenaan.

Beliau berkata walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan mangsa nahas, namun mereka menunjukkan solidariti, sanggup berbaris di sepanjang laluan Hilversum ke Amsterdam ketika jenazah dibawa dari Ukraine.

“Segala urusan di sana seakan terhenti seketika pada waktu itu, semua kenderaan, orang ramai, malah kapal terbang juga berhenti dan tidak bergerak ketika konvoi membawa mangsa,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 80 kanak-kanak.

Mangsa merupakan penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom.

Susulan kejadian itu, pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine secara in absentia selepas mendapati mereka bersalah menyebabkan pesawat MH17 ditembak jatuh dan kesemua 298 penumpang terbunuh.

Mereka ialah Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dari Rusia serta warga Ukraine iaitu Leonid Kharchenko dan mereka turut diperintahkan membayar lebih 16 juta Euro sebagai pampasan kepada ahli keluarga mangsa. Bagaimanapun, mahkamah membebaskan seorang lagi lelaki Rusia, Oleg Pulatov atas pertuduhan sama.

Mahkamah itu dalam penghakiman memutuskan bahawa mahkamah tidak meragui sama sekali bahawa MH17 telah terkena sebutir peluru berpandu BUK yang ditembak dari padang di ladang di timur Ukraine.

“Ini jelas daripada gambar jejak asap di langit, kenyataan seorang saksi yang dilindungi, imej satelit, perbualan telefon yang dipintas dan data tiang penghantaran, gambar dan video mengenai seunit BUK TELAR sedang diangkut dan dipunggah,” menurut penghakiman itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan