WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROSES PRAKELAYAKAN BANTU PILIH KONTRAKTOR TERBAIK UNTUK PAN BORNEO SABAH

16/07/2024 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Proses prakelayakan bagi pelaksanaan setiap fasa Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah yang dijalankan kini, diyakini dapat membantu Kementerian Kerja Raya (KKR) memilih kontraktor yang terbaik untuk pembinaan projek berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata proses prakelayakan bertujuan mengelakkan berlakunya proses tender secara terlalu terbuka sehingga ada syarikat mengambil kesempatan.

"Kita berpengalaman, kalau terlalu terbuka tanpa prakelayakan akan ada manipulasi … syarikat tidak berkemampuan, tidak berkelayakan akan masuk tender dan buat pembidaan palsu. Jadi, kita ada masalah memilih siapa yang sepatutnya dapat.

"Saya yakin proses ini membantu kita memilih (kontraktor) terbaik, itu harapannya dan kita tidak mahu pelantikan (syarikat) yang tidak mampu dan tidak berkelayakan akan berulang," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) sama ada KKR sedia meneliti semula pemilihan mahupun pelantikan kontraktor bagi projek itu melalui proses prakelayakan serta tender terbuka.

Nanta berkata selain itu, pemilihan kontraktor bagi setiap fasa atau pakej bagi Projek LPB Sabah juga akan diteliti Kementerian Kewangan untuk memastikan syarikat yang layak sahaja dilantik.

Menyentuh sama ada Projek LPB Sabah merupakan antara punca banjir di sesuatu kawasan terlibat, beliau berkata KKR akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuat kajian berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, berhubung proses pengambilan tanah dan penilaian pampasan tanah bagi Projek LPB Sabah, Nanta berkata anggaran kos pengambilan balik tanah bagi keseluruhan Fasa 1B projek berkenaan berjumlah RM1.2 bilion sehingga kini.

"Proses penyaluran peruntukan, pembayaran pampasan tanah dan pewartaan secara berperingkat kini sedang giat dilaksanakan terutamanya di jajaran Serusop ke Simpang Mengayau.

"Kementerian komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan mengikut perancangan untuk menambah baik jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah," katanya menjawab soalan asal Mohd Shafie tentang jumlah kos pampasan tanah bagi Fasa 1B.

Setakat ini, beliau berkata daripada keseluruhan 35 pakej kerja bagi Fasa 1 LPB Sabah, sebanyak empat pakej kerja berjaya disiapkan dan dibuka untuk pengguna jalan raya, manakala baki 15 pakej kerja pada peringkat pembinaan dan 16 pakej kerja pada peringkat perolehan.

“Surat Setuju Terima kepada kontraktor berjaya bagi kesemua 16 pakej kerja dalam perolehan dijadualkan dapat dikeluarkan pada suku ketiga 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan